Malaysia kecam Israel daftar tanah secara haram di Tebing Barat

Kementerian Luar
Kementerian Luar
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel mendaftarkan tanah secara haram di Wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan tindakan tersebut merupakan satu percubaan untuk melaksanakan penempatan secara tidak sah dan menduduki wilayah Palestin secara kekal.

"Tindakan yang belum pernah berlaku sejak 1967 ini merampas hak tanah Palestin, memperluas penaklukan dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2334.

"Ia mengukuhkan pendudukan haram, merampas tanah Palestin dan kawalan secara haram oleh Israel ke atas Wilayah Palestin yang diduduki, sekali gus menjejaskan hak rakyat Palestin serta prospek penyelesaian dua negara yang adil," katanya pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak langkah-langkah yang tidak sah ini, menuntut Israel bertanggungjawab dan memastikan hak rakyat Palestin dihormati.

"Perkara ini termasuk hak mereka yang tidak boleh diambil ke atas tanah mereka, yang kini sedang dijajah dan dirampas melalui penempatan haram serta langkah pendaftaran tanah secara tidak sah.

"Malaysia menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, keadilan dan penubuhan negara merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel mendaftarkan tanah secara haram di Wilayah Tebing Barat
  • Tindakan Israel merupakan percubaan penempatan secara tidak sah dan menduduki wilayah Palestin secara kekal
  • Tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB
  • Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menuntut Israel bertanggungjawab atas tindakannya
  • Malaysia menegaskan solidariti dengan rakyat Palestin untuk kebebasan dan penubuhan negara mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!