'Tauke' dicekup, 180 ekor murai batu tidak sempat diseludup ke Batam

KLUANG - Cubaan menyeludup 180 ekor burung spesies murai batu dianggarkan bernilai RM800,000 ke Batam, Indonesia, berjaya dipatahkan selepas seorang lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai peraih ditahan di sebuah rumah di Taman Matahari di sini pada Ahad.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 2.20 pagi menemui kesemua burung terbabit yang disyaki hidupan liar dilindungi dan tersenarai di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta 716].

Menurut beliau, lelaki berusia lingkungan 50-an itu gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen pemilikan sah bagi hidupan liar berkenaan.
"Sebanyak 180 ekor burung disyaki murai batu telah dirampas selain sitaan satu unit telefon bimbit.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai peraih atau 'tauke' yang akan mengumpul spesies burung berkenaan daripada pemburu haram selepas mendapat tempahan daripada individu di Batam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, suspek akan menyimpan burung berkenaan sehingga mencapai jumlah yang dikehendaki sebelum menyerahkannya kepada individu lain atau runner untuk diseludup melalui jalan laut ke Batam.
Menurut Abdul Kadir, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak dua bulan lalu.
“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut, manakala semua barang yang disita dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Kluang.
"Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya,
Ringkasan AI
- Cubaan menyeludup 180 ekor burung murai batu ke Batam, Indonesia bernilai RM800,000 digagalkan
- Seorang lelaki tempatan ditahan di Taman Matahari, Kluang
- Operasi oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Johor
- Lelaki ditahan gagal menyediakan dokumen sah hidupan liar
- Suspek disyaki aktif dalam kegiatan penyeludupan selama dua bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
