Warga emas parah dipukul, diseret dengan motosikal sejauh 4km

Seorang lelaki berusia 60 tahun parah selepas dipukul dan diseret di belakang motosikal. Foto NDTV
Seorang lelaki berusia 60 tahun parah selepas dipukul dan diseret di belakang motosikal. Foto NDTV
A
A
A

MADHYA PRADESH - Seorang lelaki berusia 60 tahun dilaporkan dipukul dan diseret di belakang sebuah motosikal dalam satu kejadian di sekitar kawasan Balai Polis Simariya, Rewa pada Sabtu.

Tindakan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemuda yang berang kerana menganggap mangsa telah menghina maruah mereka.

Mangsa, Lakshman Prajapati, ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung menaiki basikal selepas mengunjungi pesta Simariya.

Menurut menantunya, Sonu Prajapati, serangan tersebut berlaku tanpa sebarang provokasi dan disifatkan sebagai perbuatan yang amat kejam.

Berdasarkan laporan polis, kejadian berlaku ketika warga emas itu melalui selekoh Padrai apabila sekumpulan pemuda yang menaiki motosikal mengarahkan supaya mangsa berhenti.

“Namun, apabila mangsa mengabaikan arahan berkenaan dan meneruskan perjalanan, kumpulan pemuda itu bertindak mengejar, memberhentikan basikalnya dan menyerang,” katanya.

Suspek didakwa mengikat tangan mangsa menggunakan sehelai muffler, mengikatnya pada sebuah motosikal sebelum menyeretnya di atas jalan raya sejauh kira-kira tiga hingga empat kilometer (km).

Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk luka dalam serta lebam teruk akibat diseret di atas permukaan jalan.

Beberapa penduduk kampung yang menyaksikan kejadian tersebut segera memaklumkan kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Ketika polis tiba di lokasi, suasana menjadi tegang apabila penduduk yang berang bertindak menyekat jalan dan menuntut tindakan tegas diambil terhadap suspek.

Sekatan itu hanya ditamatkan selepas pihak polis campur tangan dan memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil.

Lakshman Prajapati kemudian dikejarkan ke Hospital Sanjay Gandhi, Rewa, dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut doktor, kecederaan mangsa sangat serius, termasuk tulang lengan yang terdedah serta luka dan lelasan dalam di seluruh tubuh badan. Mangsa kini dilaporkan bertarung nyawa.

Mangsa telah mengenal pasti seorang daripada suspek, manakala usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan menahan suspek lain.

Polis memaklumkan operasi memburu suspek sedang giat dijalankan dan memberi jaminan bahawa semua pihak yang terlibat akan diberkas dalam masa terdekat.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki berusia 60 tahun dipukul dan diseret di belakang motosikal di Madhya Pradesh
  • Tindakan dilakukan oleh pemuda yang berang kerana merasa dihina
  • Kejadian tersebut berlaku tanpa provokasi ketika mangsa pulang dari pesta
  • Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk luka dalam dan lebam akibat diseret
  • Polis sedang memburu suspek dan memberi jaminan akan mengambil tindakan segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!