Operasi bas Rapid Kuantan tamat 14 Disember depan

Perkhidmatan Rapid Kuantan yang diperkenalkan pada 2012 akan ditamatkan sepenuhnya 14 Disember depan. - Foto Rapid Bus.
Perkhidmatan Rapid Kuantan yang diperkenalkan pada 2012 akan ditamatkan sepenuhnya 14 Disember depan. - Foto Rapid Bus.
A
A
A

KUANTAN – Operasi perkhidmatan bas Rapid Kuantan yang dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn Bhd sejak November 2012, akan ditamatkan sepenuhnya pada 14 Disember depan.

Rapid Bus menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, perkhidmatan bas henti-henti di daerah ini akan diambil alih oleh Sanwa Tours (M) Sdn Bhd (Sanwa Tours), pengendali Bas.My Kuantan di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bermula 15 Disember, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan bas di Bandaraya Kuantan.

“Sejak mula beroperasi, Rapid Kuantan telah memainkan peranan penting dalam menyokong mobiliti harian warga Kuantan, khususnya golongan pelajar, pekerja dan komuniti setempat.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rapid Kuantan telah membawa lebih 28 juta penumpang, dengan purata sekitar 6,000 penumpang setiap hari, dan pernah mencatat purata harian tertinggi melebihi 15,000 penumpang,” menurut kenyataan itu.

Rapid Bus turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, pihak berkuasa tempatan, rakan strategik serta seluruh warga Kuantan atas sokongan tidak berbelah bahagi sejak penubuhan Rapid Kuantan.

“Rapid Bus menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Kami berharap orang ramai akan terus memilih pengangkutan awam sebagai cara hidup yang lestari,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pihaknya amat menghargai setiap penumpang yang telah menggunakan perkhidmatan Rapid Kuantan sejak ia diperkenalkan pada 2012.

“Dukungan masyarakat setempat menjadi semangat kami untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kami berharap orang ramai akan terus menyokong dan menggunakan perkhidmatan Bas.My Kuantan di bawah kendalian Sanwa Tours,” katanya.

Ringkasan AI

  • Operasi perkhidmatan bas Rapid Kuantan akan ditamatkan sepenuhnya pada 14 Disember
  • Perkhidmatan bas di Kuantan akan diambil alih oleh Sanwa Tours bermula 15 Disember
  • Rapid Kuantan telah beroperasi sejak November 2012
  • Rapid Kuantan telah membawa lebih 28 juta penumpang sejak mula beroperasi
  • Rapid Bus mengucapkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan sejak penubuhan Rapid Kuantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!