Pemilik rumah mayat dipenjara 40 tahun simpan 191 mayat, hantar abu palsu kepada waris

ANKARA - Seorang pemilik rumah urus mayat di negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS) yang menyimpan 191 mayat selama bertahun-tahun dan memberikan abu palsu kepada keluarga mangsa dijatuhi hukuman penjara 40 tahun pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik laporan media.
Jon Hallford, pemilik bersama Return to Nature Funeral Home, menerima kecaman hebat daripada keluarga mangsa dan mahkamah atas jenayah yang dilakukan antara 2019 dan 2023, selepas mayat ditemukan bertimbun dan dibiarkan reput di dalam sebuah bangunan di Penrose, selatan Colorado Springs, menurut CBS News.
Menurut penyiasat, mayat ditemukan di seluruh bangunan terbabit dalam keadaan bertindan, dihurungi serangga serta lantai dipenuhi cecair kesan pereputan.
Mayat berkenaan yang merangkumi orang dewasa, bayi dan janin, hanya disimpan pada suhu bilik.
Hakim Eric Bentley menyifatkan perbuatan Hallford telah menyebabkan kemudaratan yang "tidak terucap dan sukar difahami," sambil menambah bahawa kes itu telah menguji kepercayaan bahawa manusia pada dasarnya "mempunyai kebaikan pada terasnya."
Ahli keluarga mangsa memberitahu mahkamah bahawa mereka mengalami mimpi buruk yang berulang selepas mengetahui mayat insan tersayang diperlakukan sedemikian rupa. Ramai yang menggesa hakim mengenakan hukuman maksimum 50 tahun dan melabel Hallford sebagai "raksasa."
"Saya seorang anak perempuan yang ibunya dilakukan bagaikan sampah semalam, kata Kelly Mackeen, yang mayat ibunya merupakan antara jasad yang tidak dikendalikan dengan sewajarnya.
Hallford memohon maaf di mahkamah dan mengakui tindakannya akan "memberi kesan kepada satu generasi" serta mengakui dia gagal menghentikan perbuatan itu walaupun mempunyai banyak peluang untuk melakukannya.
Pihak pendakwa berkata jenayah itu didorong oleh sifat tamak. Walaupun mengenakan bayaran lebih AS$1,200 (kira-kira RM5,150) kepada setiap keluarga, Jon dan Carie Hallford berbelanja mewah menggunakan wang terbabit untuk membeli kenderaan mewah bernilai lebih AS$120,000, mata wang kripto sebanyak AS$31,000, barangan mewah dan prosedur kosmetik.
"Ini jelas jenayah yang didorong oleh ketamakan,” kata pendakwa Shelby Crow sambil menambah wang yang dibelanjakan boleh membayar pembakaran mayat yang sepatutnya berulang kali.
Jon Hallford dan bekas isterinya, Carie Hallford, mengaku bersalah pada Disember lepas atas hampir 200 pertuduhan penganiayaan mayat. Carie dijadualkan menerima hukuman pada 24 April dan berdepan hukuman penjara antara 25 hingga 35 tahun.
Selain itu, Jon Hallford turut menerima hukuman penjara persekutuan selama 20 tahun bagi pertuduhan penipuan berkaitan bantuan era pandemik berjumlah hampir AS$900,000, yang akan dijalankan secara serentak.
Kes itu mendorong penggubal undang-undang Colorado untuk memperketat peraturan rumah urus mayat pada 2024, termasuk memperkenalkan pemeriksaan rutin dan kuasa penguatkuasaan yang lebih kuat. - Bernama
Ringkasan AI
- Pemilik rumah urus mayat di Colorado, AS, menyimpan 191 mayat dan memberikan abu palsu kepada keluarga
- Dijatuhi hukuman penjara 40 tahun atas kejahatan antara 2019 dan 2023
- Mayat ditemukan bertindan dan dibiarkan reput dalam bangunan
- Kes ini menyebabkan kemudaratan yang tidak terucap dan menguji kepercayaan terhadap kebaikan manusia
- Jon Hallford dan bekas isterinya mengaku bersalah atas hampir 200 pertuduhan penganiayaan mayat, Jon juga dijatuhi hukuman 20 tahun atas penganiayaan dana bantuan pandemik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
