Rumah ibadat: Patuh undang-undang, jangan politikkan isu agama - Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu, Seri Paduka Baginda bertitah, isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.
Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman pada Januari 2018 apabila Seri Paduka Baginda bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
"Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
"Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
"Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya," titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan dengan itu, Sultan Ibrahim bertitah apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, dan menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.
Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
Titah Seri Paduka Baginda, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama.
Sultan Ibrahim turut bertitah mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara. - Bernama
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong menekankan kepentingan mematuhi undang-undang dalam pembinaan kuil dan rumah ibadat lain
- Sultan Ibrahim pernah bertindak sebagai pendamai dalam isu perobohan kuil di Johor tahun 2018
- Agama Islam menggalakkan prinsip saling hormat-menghormati antara penganut agama
- Semua pihak diminta menghormati undang-undang dan mencari penyelesaian menerusi saluran yang sah untuk mengekalkan keharmonian
- Sultan Ibrahim mengingatkan isu agama tidak seharusnya dipolitikkan untuk menjaga keharmonian dan perpaduan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
