Kadar zakat fitrah Wilayah Persekutuan RM8, RM15, RM25 tahun ini

Abdul Hakim ketika sidang media selepas pelancaran Kempen Ramadan 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu' pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB.
Abdul Hakim ketika sidang media selepas pelancaran Kempen Ramadan 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu' pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) tahun ini ditetapkan antara RM8 hingga RM25 mengikut jenis beras kegunaan harian selepas dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-151.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, seramai 946 amil fitrah dilantik, 77 daripadanya ketua penolong ambil manakala 869 penolong amil fitrah bakal ditempatkan di pelbagai lokasi.

Antaranya, menurut beliau, di pekarangan masjid, surau, premis pejabat dan pusat membeli belah di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Kadar asas fitrah RM8 dikenakan ke atas pengguna beras super tempatan dan beras import biasa, peningkatan RM1 berbanding tahun lalu.

"RM15 bagi pengguna Beras Import Premium manakala RM25 buat pengguna beras basmathi, meningkat RM3 selaras kenaikan harga semasa.

"Setiap amil dibekalkan kod respons pantas atau kod QR bagi memudahkan urusan transaksi tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen Ramadan PPZ-MAIWP 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu' di Restoran Chef Kecik Boulangerie @ Tuah 1895 Bukit Bintang, di sini pada Khamis.

Abdul Hakim menambah, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM18.3 juta manakala zakat harta RM350 juta.

Selain itu, kata beliau, pihaknya menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan termasuk kaunter fizikal, portal dalam talian, aplikasi mudah alih, skim potongan zakat bulanan, perkhidmatan bergerak serta kerjasama dengan institusi perbankan dan e-wallet.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia bagi memastikan urusan pembayaran zakat lebih mudah dan selesa.

Dalam masa sama, kata beliau, PPZ-MAIWP turut mengajak masyarakat untuk beramal melalui wakaf tunai, satu instrumen kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan.

"Istimewanya Ramadan kali ini, PPZ-MAIWP memperkenalkan inisiatif 30 Hari Berwakaf @ Ramadan, di mana masyarakat berpeluang menyumbang kepada pelbagai projek wakaf yang berbeza setiap hari.

"Inisiatif ini bertujuan memberi ruang kepada masyarakat untuk berwakaf secara konsisten sepanjang Ramadan walaupun dengan jumlah yang kecil, impaknya besar dan berpanjangan.

"Insya-ALLAH, setiap sumbangan wakaf ini akan menjadi saham akhirat yang terus mengalir pahalanya," ujarnya.

Ejen dalam talian kutipan PPZ-MAIWP merangkumi 15 perbankan Internet antaranya bagi segmen e-wallet dan aplikasi (Boost, Shopee, Tulus, The Noor, Touch 'n Go) manakala portal dalam talian (senangPay, MyEG, PayHalal, MyPay, Elzar Shariah, Al Amin dan MyVerify).

Selain zakat fitrah, orang ramai juga boleh mengambil keberkatan Ramadan dengan menunaikan zakat harta menerusi 10 kaunter PPZ-MAIWP setiap hari dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang atau layari laman sesawang zakat.com.my untuk maklumat lanjut.

Ringkasan AI

  • Kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan ditetapkan antara RM8 hingga RM25 mengikut jenis beras
  • Seramai 946 amil fitrah dilantik untuk tempatkan di pelbagai lokasi seperti masjid dan pusat membeli belah
  • Kadar asas fitrah RM8 untuk pengguna beras Super Tempatan dan Beras Import Biasa, RM15 untuk Beras Import Premium dan RM25 untuk Beras Basmathi
  • Setiap amil fitrah dibekalkan kod QR untuk transaksi tanpa tunai
  • PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM18.3 juta dan zakat harta RM350 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!