Pembangunan rumah ibadat mesti ikut undang-undang - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menekankan setiap pembangunan yang dijalankan di negeri ini perlu mematuhi undang-undang sedia ada serta amalan tadbir urus yang baik.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, titah baginda menegaskan perkara itu turut terpakai bagi setiap pembinaan rumah ibadat, khususnya kuil Hindu, supaya dilaksanakan secara teratur dari segi perundangan serta selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang.

“Semua pembangunan, termasuk rumah ibadat, perlu melalui proses permohonan dan kelulusan yang sah daripada pihak berkuasa bagi memastikan keamanan, keharmonian serta tadbir urus yang baik dapat dikekalkan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan Sultan Selangor turut mengingatkan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memantau dan meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus, adil dan sistematik bagi mengelakkan sebarang pembinaan tanpa kebenaran yang boleh menimbulkan pertelingkahan serta ancaman keselamatan.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Persekutuan yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Kenyataan itu memaklumkan pendirian Sultan Selangor tersebut selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Februari lalu dan ditegaskan sekali lagi ketika menghadap Sultan Sharafuddin pada 8 Februari.

“Sultan Selangor turut dimaklumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor mengenai statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di negeri ini sehingga 31 Januari lalu, iaitu sebanyak 687 buah kuil, membabitkan 388 kuil di atas tanah milik kerajaan dan 299 kuil di tanah persendirian.

“Kenyataan itu memaklumkan jumlah tersebut disifatkan tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus, selain tidak termasuk kuil yang dibina secara sah dengan kelulusan pihak berkuasa negeri.

“Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, Sultan Sharafuddin sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian di negeri ini,” tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri sebelum ini memberikan kuasa kepada PBT di seluruh negara untuk bertindak terhadap rumah ibadat, termasuk kuil, yang dibina di tapak tidak sah.

Walaupun keputusan tersebut dijangka mengundang kontroversi, Anwar menegaskan Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kerajaan negeri akan melaksanakan tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina di atas tapak tidak sah dengan pendekatan berhemah bagi menjamin keharmonian masyarakat.

Ringkasan AI

  • Sultan Selangor menekankan pembangunan di negeri harus mematuhi undang-undang dan amalan tadbir urus baik
  • Pembinaan rumah ibadat seperti kuil Hindu harus teratur dan selaras dengan perancangan bandar
  • Kerajaan dan PBT diingatkan untuk meneliti permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus dan adil
  • Sultan Selangor sokong pendirian Kerajaan Persekutuan menentang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan
  • Sultan ambil berat tentang sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama untuk mengekalkan keharmonian di Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!