Isu rumah ibadat: Saifuddin Nasution beri penjelasan kepada Jemaah Menteri esok

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri esok berhubung isu berkaitan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan serta insiden pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Selangor.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai isu berkenaan serta kronologi peristiwa dan watak-watak yang terlibat bagi membolehkan kerajaan mencari ikhtiar penyelesaian terbaik dalam meredakan ketegangan yang berlaku.
"Saya telah meminta Ketua Polis Negara dan Pengarah Cawangan Khas untuk bersedia dengan laporan lengkap. Kita mahu memastikan tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan perundangan, bukannya emosi atau manipulasi pihak tertentu," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Mengenai insiden individu yang mengambil tindakan sendiri merobohkan rumah ibadat baru-baru ini, Saifuddin Nasution menegaskan tindakan membelakangi undang-undang adalah sangat berbahaya dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Isu kaum dan agama ini sangat emotif. Apabila maklumat di hujung jari disebar oleh pihak yang tidak memikirkan soal keamanan, tanggungjawab polis menjadi sangat kritikal untuk menghalang provokasi," katanya.
Beliau berkata, isu berkaitan status tanah, pemilikan atau perancangan bandar mesti diselesaikan melalui saluran sah yang melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Tiada pihak akan menang dalam isu ini jika kita bertindak mengikut emosi. Kita tetap kekal sebagai negara berbilang kaum dan jaminan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan oleh kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau memberikan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggunakan seluruh keupayaan, termasuk peruntukan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan bagi menghalang sebarang tindakan yang menjejaskan keharmonian.
"Kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghasut atau meniup sentimen perkauman. Polis akan bertindak secara profesional demi memelihara keamanan negara yang kini berada di atas landasan ekonomi yang tepat," katanya.
Semalam polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penahanan dibuat susulan aduan diterima daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan terbabit. - Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Dalam Negeri akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri tentang isu rumah ibadat dan insiden kuil di Rawang
- Saifuddin Nasution menekankan tindakan berdasarkan fakta dan perundangan, bukan emosi
- Tindakan merobohkan rumah ibadat sendiri dianggap melanggar undang-undang dan berbahaya
- Isu tanah dan perancangan bandar harus diselesaikan melalui saluran sah yang melibatkan pihak berkuasa
- Polis Diraja Malaysia menggunakan peruntukan undang-undang untuk menjaga keharmonian dan keamanan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
