Kerajaan Madani wajar pertahan Azam Baki - Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan

 Azam dan Mohd Asna.
Azam dan Mohd Asna.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani disaran mempertahankan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan rekod ketegasan beliau dalam usaha membanteras rasuah sejak tahun 2020.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohd Asna Amin berkata, Azam menunjukkan keberanian dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi yang melibatkan individu berpengaruh, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap integriti dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, sepanjang tempoh lima tahun kepimpinan Azam, SPRM berjaya menyita kira-kira RM3.54 bilion serta melucut hak harta bernilai RM27.87 bilion yang disalurkan semula kepada negara.

“Ketegasan SPRM di bawah pimpinan beliau memberi isyarat jelas bahawa salah guna kuasa tidak akan dikompromi, sekali gus meningkatkan rasa tanggungjawab dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa usaha berterusan membanteras rasuah penting bagi memastikan sistem pentadbiran negara kekal telus dan berintegriti.

"Rasuah boleh merosakkan struktur pentadbiran negara.

"Justeru tindakan tegas amat diperlukan supaya institusi yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat terus berfungsi dengan baik," katanya.

Mohd Asna turut mendakwa keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam memerangi rasuah semakin meningkat, khususnya susulan tindakan terhadap kes berprofil tinggi.

Katanya, ketegasan Azam dalam memimpin SPRM secara tidak langsung meletakkan institusi itu dalam tekanan, namun ia merupakan sebahagian daripada perjuangan memperkukuh tadbir urus negara.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu terus memberi sokongan kepada kepimpinan SPRM bagi memastikan agenda membanteras rasuah dapat diteruskan secara konsisten.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Madani disaran mempertahankan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana ketegasannya membanteras rasuah sejak 2020
  • Azam menunjukkan keberanian dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi
  • Sepanjang lima tahun kepimpinan Azam, SPRM berjaya menyita dan melucut hak harta bernilai jutaan ringgit
  • Ketegasan Azam meningkatkan rasa tanggungjawab dalam kalangan penjawat awam
  • Usaha membanteras rasuah penting untuk memastikan sistem pentadbiran negara kekal telus dan berintegriti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!