Warga Bangladesh gagal rayuan dapatkan semula RM723,000

Seorang warga Bangladesh gagal mendapatkan semula RM723,000 yang dirampas dalam serbuan selepas
Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah sitaan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.
Seorang warga Bangladesh gagal mendapatkan semula RM723,000 yang dirampas dalam serbuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah sitaan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang warga Bangladesh gagal dalam rayuannya untuk mendapatkan semula RM723,000 yang dirampas dalam satu serbuan, selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah sitaan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azmi Ariffin, bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid pada Khamis membatalkan rayuan Salman Ahmad Chowdhury terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menyita wang berkenaan, yang kemudiannya dipulangkan kepada kerajaan.

Dalam penghakiman sebulat suara, Hakim Hayatul Akmal berkata, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika mengeluarkan perintah penyitaan dan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak semakan itu adalah teratur.

Beliau berkata, terdapat kaitan antara wang yang dirampas dengan kesalahan yang dilakukan, selain peguam Salman sendiri mengakui bahawa mereka tidak mengetahui siapa pemilik wang berkenaan.

"Kami juga mengambil kira bahawa permohonan semakan itu difailkan lebih setahun selepas perintah dikeluarkan, yang mana tidak wajar diberi pertimbangan,” katanya.

Mengikut fakta kes, Salman, 32, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana melanggar syarat pas lawatan kerja sementara.

Walaupun dibenarkan bekerja sebagai pembersih di sebuah syarikat, beliau didapati bekerja di tempat lain.

Dia didenda RM400, dan mahkamah juga memerintahkan tertuduh diusir pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat rayuan terhadap perintah tersebut sebelum diusir.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu serbuan pada 17 Januari 2024, pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen menemui bahawa Salman memiliki beberapa pasport asing dan turut menjumpai wang tunai RM723,000 yang disimpan dalam peti simpanan keselamatan.

Salman bersama tiga individu lain ditahan selepas itu.

Bekas majikannya, Agensi Pekerjaan Insight Alliance Sdn Bhd turut didenda RM10,000 kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah dan tidak membuat rayuan terhadap sabitan tersebut.

Bagaimanapun, pada 6 Mei 2025, Salman memohon Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan bagi menyemak keputusan mahkamah rendah yang menyita wang itu.

Mahkamah Tinggi, pada 19 Mei 2025, menolak permohonan tersebut, lalu beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, Salman diwakili peguam, Atiqa Nazihah Azmi dan Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Aizuddin Masrom mewakili pihak pendakwaan. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang warga Bangladesh gagal mendapatkan semula RM723,000 yang dirampas dalam serbuan
  • Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah sitaan setelah rayuan ditolak
  • Terdapat kaitan antara wang dirampas dengan kesalahan yang dilakukan
  • Wang dirampas dikembalikan kepada kerajaan Malaysia
  • Salman, pekerja asing, didenda dan diusir kerana melanggar syarat pas lawatan kerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!