Dakwaan seleweng dana RM900,000: Ketua pengarah, pengarah jabatan kerajaan direman

Seorang ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan direman lima hari pada Khamis.
Seorang ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan direman lima hari pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan direman lima hari untuk membantu siasatan kes subahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000.

Perintah reman sehingga 16 Februari terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira jam 1 petang, Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut

Kes disiasat dibawah Seksyen 18 dan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan menyalahgunakan harta dengan curang dan pecah amanah.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang ketua pengarah dan pengarah jabatan kerajaan direman lima hari untuk siasatan penyelewengan dana RM900,000
  • Majistret Ezrene Zakariah mengeluarkan perintah reman sehingga 16 Februari atas permohonan SPRM
  • Kedua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya
  • Suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan peruntukan kewangan untuk kepentingan peribadi dan mengemukakan tuntutan palsu untuk umrah
  • Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan melibatkan kesalahan menyalahgunakan harta dan pecah amanah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!