Polis tumpas sindiket arak tiruan, empat ditahan dan rampasan RM1.7 juta

Ab Rahaman menunjukkan arak tiruan yang dirampas ketika sidang akhbar di Balai Polis Senai, Kulai pada Rabu.
Ab Rahaman menunjukkan arak tiruan yang dirampas ketika sidang akhbar di Balai Polis Senai, Kulai pada Rabu.
A
A
A

KULAI – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan sindiket arak tiruan dengan nilai rampasan RM1.7 juta selepas melakukan serbuan di Taman Mewah dan Taman Senai Utama di sini pada 3 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Mewah yang dijadikan lokasi pembotolan arak tiruan.

“Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang bekerja di situ.

“Pihak polis turut merampas peralatan pembotolan arak dan sejumlah besar kotak berisi pelbagai jenis arak yang dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Senai di sini pada Rabu.

Beliau berkata, antara yang dirampas ialah tiga tong hitam berkapasiti 200 liter pati arak dan satu tong biru yang telah diubah suai berisi 120 liter cecair dipercayai arak tiruan yang telah dibancuh.

Katanya, turut dirampas satu tong kelabu yang diubah suai serta dilengkapi hos berisi 170 liter cecair disyaki arak tiruan yang siap dibancuh, selain satu tong hitam berisi 500 liter cecair disyaki arak tiruan yang telah dibancuh.

“Selain itu, tong biru berisi tiga liter cecair disyaki bahan pewarna, satu tong putih berisi tujuh liter pewarna perisa karamel, 50 kotak berisi 52 botol kosong dan 203 kotak arak pelbagai jenama turut dirampas,” katanya.

Ab Rahaman berkata, susulan itu polis melakukan serbuan kedua di Taman Senai Utama, Senai yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan arak tiruan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut polis merampas antaranya sebuah van jenis Toyota Hiace bersama sebatang anak kunci dan alat kawalan jauh serta 414 kotak arak pelbagai jenama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan tersebut berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan arak tiruan, peralatan pembotolan, cukai dan van.

Katanya, siasatan mendapati arak tersebut untuk pasaran tempatan terutama dalam kalangan warga Myanmar yang menetap di negeri ini dengan harga RM50 hingga RM70 sebotol.

“Kita percaya sindiket ini sudah aktif sejak Ogos tahun lalu. Proses pembuatan arak ini dilakukan di lokasi lain di Johor dan kita sudah mengenal pasti lokasinya.

“Pekerja asing terbabit menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan kita sedang menyiasat ketua atau dalang sindiket ini,” ujarnya.

Menurut Ab Rahaman, semua suspek ditahan reman selama sembilan hari bermula 4 Februari lalu hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967.

Tambahnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 136(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Ringkasan AI

  • Batolian 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpas sindiket arak tiruan bernilai RM1.7 juta
  • Serbuan pertama di Taman Mewah, tiga warga Myanmar ditahan
  • Di Taman Senai Utama, seorang lelaki tempatan ditahan bersama 414 kotak arak
  • Rampasan termasuk peralatan pembotolan arak, tong berisi cecair arak tiruan dan van pengangkutan
  • Sindiket aktif sejak Ogos, arak tiruan untuk pasaran tempatan dengan harga RM50 hingga RM70 sebotol

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!