Kegiatan seludup arak guna label palsu kastam tumpas

SUBANG JAYA – Kegiatan penyeludupan arak menggunakan label palsu kastam ditumpaskan dalam satu serbuan di sini pada Rabu lalu.
Serbuan menerusi Op Kontraban dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hasil maklumat serta risikan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 6.30 pagi itu menahan dua lelaki warga asing berusia 25 dan 35 tahun selepas dikesan melakukan aktiviti pemunggahan kotak mengandungi minuman keras dari sebuah lori ke dalam sebuah premis.
Menurut beliau, pemeriksaan dalam premis berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras serta rokok tidak bercukai, selain dua lori bonded yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam aktiviti penyeludupan arak dan premis terbabit digunakan sebagai stor simpanan sejak kira-kira lima bulan lalu.
“Minuman keras ini dibekalkan ke pasaran sekitar Subang Jaya dan dipercayai bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek turut dikesan mencetak label palsu kastam untuk ditampal pada botol arak berkenaan bagi mengelirukan pihak berkuasa serta pembeli.

Katanya, rampasan melibatkan 17,972 botol dan 2,796 tin minuman keras serta 450 karton rokok dengan nilai keseluruhan RM1,009,174.
“Rampasan kenderaan pula dianggarkan bernilai RM214,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1,223,174,” ujarnya.
Tegas beliau, kejayaan tangkapan dan rampasan ini mencerminkan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JKDNKA Selangor, dalam membanteras jenayah penyeludupan barangan tidak bercukai yang menjejaskan hasil serta keselamatan negara.
“Polis Selangor akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah yang merugikan negara,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ringkasan AI
- Serbuan menyasarkan kegiatan penyeludupan arak dengan label palsu kastam di Subang Jaya
- Dua lelaki warga asing ditahan dalam operasi yang dilakukan awal pagi
- Minuman keras dan rokok tidak bercukai ditemukan di premis yang digunakan sebagai stor simpanan
- Suspek mencetak label palsu kastam untuk mengelirukan pihak berkuasa dan pembeli
- Rampasan termasuk minuman keras, rokok dan kenderaan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1,223,174
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
