Kes jenayah komersial meningkat 81.6 peratus, kerugian RM3.6 Bilion

KUALA LUMPUR – Kes jenayah komersial di negara ini mencatat peningkatan ketara apabila sebanyak lebih 52,000 kes dilaporkan sejak Januari hingga September lalu dengan jumlah kerugian mencecah RM3.6 bilion.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, peningkatan sebanyak 81.6 peratus itu berbanding tempoh sama tahun lalu amat membimbangkan kerana kebanyakan kes melibatkan penipuan dalam talian yang terus memperdayakan mangsa tanpa mengira latar belakang.
"Jenayah komersial khususnya love scam dan pelaburan palsu yang menjanjikan keuntungan lumayan, menyumbang kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.
"Statistik dari Januari hingga September lalu menunjukkan lebih 47,000 kes penipuan dalam talian dengan kerugian mencecah RM2 bilion, meningkat 94 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Mohd Khalid berkata, kerajaan memandang serius peningkatan tersebut dan memberi mandat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia untuk menerajui Pusat Respons Scam Nasional (NSRC), yang berfungsi sebagai pusat sehenti menyelaras tindakan pantas menangani aduan penipuan dalam talian.
"NSRC yang ditubuhkan pada 12 Oktober 2022 dan mula beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sejak 7 Julai 2025, menghimpunkan kepakaran PDRM, Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Sehingga 30 September lalu, NSRC menerima lebih 266,000 panggilan termasuk 160,000 panggilan kes tulen (genuine case) untuk tindakan lanjut bagi mengesan serta menyekat dana yang hilang, manakala 115,000 lagi merupakan panggilan umum bagi nasihat pencegahan atau kes lama," katanya.
Beliau berkata, JSJK turut kekal komited membanteras jenayah komersil apabila berjaya menahan hampir 21,000 individu atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga September lalu.
"Dalam masa sama, lebih 14,000 aktiviti pencegahan termasuk ceramah, pameran dan kolaborasi bersama media telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya.
Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JSJK atas usaha berterusan mereka serta menyeru agar kerjasama dengan agensi, institusi kewangan dan ahli akademik terus diperkukuh bagi membanteras jenayah ini secara menyeluruh dan berkesan.
Dalam majlis sama, seramai 20 penerima menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara melibatkan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan integriti mereka dalam melaksanakan tugas.
Ringkasan AI
- Kes jenayah komersial di Malaysia meningkat sehingga lebih 52,000 kes dengan kerugian RM3.6 bilion dari Januari hingga September
- Peningkatan 81.6 peratus kes jenayah komersial berbanding tahun sebelumnya, kebanyakannya adalah penipuan dalam talian
- Love scam dan pelaburan palsu menyumbang kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan kes
- Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) ditubuhkan untuk mengkoordinasi tindakan menangani aduan penipuan dalam talian
- JSJK menahan hampir 21,000 individu atas pelbagai kesalahan dan melaksanakan lebih 14,000 aktiviti pencegahan dari Januari hingga September
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
