Polis tumpaskan sindiket 'boy lembu' guna lori usang jadi stor dadah

IPOH – Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang menggunakan lori usang sebagai gudang rahsia penyimpanan dadah dalam operasi khas di kawasan lombong berhampiran Lahat, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi sekitar jam 7 malam itu berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun di tepi Jalan Pengkalan Utama, Lahat, hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berat itu menemukan 33 bungkusan plastik berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 32 kilogram, bernilai dianggarkan RM94,000.
“Lori ini telah ditinggalkan di lokasi berkenaan sejak kira-kira empat tahun lalu dan berdasarkan keadaannya, ia memang tidak pernah digunakan.
“Sindiket mengambil kesempatan menjadikannya sebagai stor atau tempat penyimpanan sementara dadah bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, ini merupakan kes pertama di Ipoh yang membabitkan penggunaan lori terbiar sebagai tempat simpanan dadah.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan kerana sindiket itu dipercayai mempunyai rangkaian lain yang dikenali sebagai sindiket ‘Boy Lembu’ dan aktif sejak Januari tahun lalu.
“Seorang daripada suspek berusia 50 tahun mempunyai tujuh rekod lampau termasuk berkaitan dadah, manakala seorang lagi warga asing berusia 35 tahun didapati positif methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan air kencing.
“Kesemua suspek kini direman selama lima hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Zainal Abidin berkata, pihaknya menumpaskan satu lagi kes pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Tasek Square Residential, Kampung Tawas, pada Rabu.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan bersama 17 peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki methamphetamine seberat 114 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM13,680.
Beliau berkata, suspek yang menyewa rumah berkenaan sejak tujuh bulan lalu dipercayai menjadikan premis itu sebagai lokasi pembungkusan semula sebelum melakukan pengedaran mengikut temu janji.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan turut didapati positif methamphetamine,” katanya.
Ringkasan AI
- Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang menggunakan lori usang di kawasan lombong dekat Lahat, Ipoh
- Operasi itu menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu
- Ditemukan 33 bungkusan plastik berisi ganja dengan berat keseluruhan kira-kira 32 kilogram, bernilai RM94,000
- Ini merupakan kes pertama di Ipoh yang membabitkan penggunaan lori terbiar sebagai tempat simpanan dadah
- Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian lain dikenali sebagai sindiket 'Boy Lembu' dan aktif sejak Januari tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

