Pegawai IKBN Kuala Langat didakwa bersubahat buat tuntutan palsu RM76,980

A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu bagi program latihan berjumlah RM76,980, tiga tahun lepas.

Noor Aini Mohd Khalid, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan, masing-masing di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud dan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Aini didakwa bersubahat dengan seorang lelaki tempatan mengemukakan dokumen butir matan palsu bernilai RM36,000 kepada institut tersebut.

Dokumen tersebut bertujuan memperdaya pihak institut itu kerana kerja-kerja perkhidmatan menyediakan makanan, minuman dan dobi, tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh sebuah syarikat pengurusan latihan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersubahat bersama lelaki yang sama mengemukakan dokumen butir matan palsu pembayaran bernilai RM40,980, bagi kerja perkhidmatan membekal bahan latihan berserta bahan promosi untuk program yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing pada 14 Julai 2023 dan 22 Mei 2023 di pejabat IKBN Kuala Langat di Banting, dekat sini, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri masing-masing menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Muhammad Amin Anuar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan minimum diberikan kepada anak guamnya, memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan tiga anak kerana suami patah kaki akibat kemalangan dan ibu bapa uzur yang tinggal serumah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pendakwa raya dan menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes. - Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pegawai IKBN Kuala Langat didakwa membuat tuntutan palsu RM76,980
  • Noor Aini Mohd Khalid, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam
  • Didakwa bersubahat membuat dokumen palsu untuk perkhidmatan yang tidak dilaksanakan sepenuhnya
  • Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai tuntutan
  • Jaminan ditetapkan RM9,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport dan melapor di pejabat SPRM sebulan sekali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!