Kolaborasi WUIF-Ikram perkasa strategi 12 Saff

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengorak langkah positif dengan mengadakan kolaborasi bagi memperkasa projek 12 Saff yang merupakan cetusan ilham daripada penganjuran World #QuranConvention 2025 (WQC 2025).
Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sinergi antara kedua-dua pihak dilihat sebagai usaha yang mampu membawa Malaysia ke arah perubahan, bermula daripada generasi muda dengan penerapan ilmu dan didikan berteraskan al-Quran.
Lebih-lebih lagi katanya, Ikram memiliki visi dan misi yang jelas, ilmu serta kepakaran ahli akademik yang cukup mengagumkan, malah mempunyai ribuan pelajar yang bernaung di bawah pengurusan pertubuhan tersebut.
“Kita ada 12 Saff, Ikram pula ada kepakaran yang mana ahlinya dalam kalangan profesor, doktor falsafah dan sebagainya. Saya dengar ada rangkaian sekolah bersepadu di bawah Ikram, keseluruhannya sekitar 20,000 pelajar.
"Bayangkan kalau kita boleh latih 20,000 pelajar itu dengan ilmu yang diturunkan daripada ahli Ikram (ditambah pula penekanan sektor pendidikan dalam 12 Saff), insya-ALLAH 10 hingga 15 tahun lagi, Malaysia akan berubah.
“Kita akan menjadi 'catalyst' kepada perubahan,” katanya semasa penganjuran bengkel 'Projek 12 Saff: Brainstorming WUIF-Ikram' di Ibu Pejabat WUIF Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.

Strategi 12 Saff merupakan model kerangka 12 wilayah ekonomi (Saff) sebagai usaha untuk merangka solusi pembangunan ekonomi global berlandaskan wahyu dan panduan al-Quran.
Ia merangkumi sektor keusahawanan halal, kesihatan dan kesejahteraan, keselamatan makanan, pembangunan wanita serta pendidikan.
Selain itu, kewangan Islam, inovasi teknologi, pembangunan belia, seni dan budaya, kelestarian persekitaran, pembangunan komuniti serta tadbir urus berintegriti yang memberi kesan langsung bukan sahaja kepada kesejahteraan masyarakat, bahkan kemajuan negara.
Kerangka strategik tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sementara itu, Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berpandangan, pembabitan pihaknya ke dalam 12 Saff diharap dapat menyumbang peranan besar dari segi buah fikiran dan kepakaran dimiliki ahli-ahli pertubuhan agar projek yang dilaksanakan berimpak tinggi serta mampu meninggalkan kesan kepada masyarakat dan negara.
Dalam masa sama, katanya, rumusan perbincangan disifatkan sebagai amat positif, ditambah pula penerangan daripada Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail sejajar dengan apa yang kedua-dua pihak ingin realisasikan.
"Alhamdulillah perbincangan menjurus kepada apa yang Ikram telah lakukan dan bagaimana ia berpadanan dengan kerangka kerja 'Heaven To Earth' (HTE) ini, merujuk mesej al-Quran, nilai yang boleh diambil daripada itu dan apakah ilmu yang dikembangkan daripadanya.
"Seterusnya inovasi projek yang boleh dilakukan daripada ilmu tersebut," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff pula memaklumkan, kerangka kerja HTE atau 'syurga ke dunia' yang diperkenalkan memperincikan tentang bagaimana wahyu dipetik daripada al-Quran akhirnya terbit menjadi sebuah inovasi baharu.

Selain perbincangan tentang 12 Saff, katanya, kedua-dua pihak turut menyimpulkan dapatan daripada penganjuran WQC 2025 pada Disember lepas.
"Perkara itulah yang kita sedang bina dan insya-ALLAH semoga siri pertemuan berserta hasil perbincangan selepas ini dapat dijadikan projek hingga akhirnya dibawa ke WQC 2026 pada 6 hingga 8 Disember.
"Kalau sebelum ini menyentuh tentang Surah Al-Saff, kali ini ada kelainan yang mana WQC 2026 membawakan Surah al-Muzzammil pula," ujar Marhaini.
Ringkasan AI
- Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Pertubuhan Ikram Malaysia bekerjasama dalam projek 12 Saff yang terinspirasi dari World #QuranConvention 2025
- Kolaborasi itu bertujuan memperkasa generasi muda melalui ilmu dan didikan berdasarkan al-Quran
- Ikram mempunyai ilmu dan kepakaran ahli akademik serta ribuan pelajar yang dapat mempengaruhi perubahan positif di Malaysia
- Strategi 12 Saff meliputi sektor keusahawanan halal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan serta Rancangan Malaysia Ke-13
- Pembabitan Ikram diharap dapat menyumbang buah fikiran dan kepakaran untuk projek berimpak tinggi serta meninggalkan kesan positif kepada masyarakat serta negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

