WQC 2025 jadi platform satukan ummah, perkukuh ekonomi dan kepimpinan Islam

KUALA LUMPUR – Pembinaan ekonomi ummah perlu dimulakan dari peringkat keluarga sebagai asas kepada kekuatan wilayah, negara dan seterusnya dunia Islam, demikian antara penekanan utama yang dibincangkan dalam World #QuranConvention (WQC) 2025.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pembangunan ekonomi berpandukan al-Quran mesti diperkukuh melalui institusi keluarga sebagai unit paling asas dalam masyarakat, dan tidak seharusnya hanya bermula pada skala besar semata-mata.
“Wilayah itu bermula daripada keluarga. Keluarga juga adalah sebuah wilayah kecil. Maka, pembinaan ekonomi ini perlu dimulakan dari peringkat tersebut sebelum berkembang ke skala yang lebih besar.
“Apabila ekonomi keluarga menjadi kuat dan stabil, ia akan menyumbang secara langsung kepada kekuatan ekonomi negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekonomi ummah secara keseluruhan,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa World #QuranConvention (WQC) 2025 yang berlangsung di Perdana Hall, Kementerian Pelancongan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini.
Dalam masa sama, Hussamuddin berkata, World #QuranConvention juga berperanan sebagai platform global untuk umat Islam berkumpul, membincangkan ayat-ayat al-Quran serta mengaplikasikannya dalam pengurusan kehidupan, termasuk dalam aspek ekonomi.

Menurutnya, melalui pendekatan tadabbur, peserta didedahkan kepada kefahaman yang lebih mendalam terhadap satu ayat al-Quran sebelum diterjemahkan dalam konteks sosial, ekonomi dan kepimpinan.
“Pemilihan tema ekonomi bagi tahun ini adalah kerana kekuatan ekonomi merupakan faktor utama yang menentukan pengaruh sesebuah bangsa di peringkat dunia.
“Umat Islam perlu bersatu dengan satu agenda bersama kerana perpecahan antara negara Islam hanya akan melemahkan ummah, berbeza dengan pihak lain yang kukuh disokong oleh rangkaian perniagaan besar dan tersusun.
“Semua pihak mesti mula mempelajari dan memahami al-Quran secara serius, selain menekankan peranan ibu bapa dalam membentuk generasi yang bertanggungjawab berlandaskan nilai kepimpinan Islam,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa lelaki khususnya perlu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga, masyarakat dan negara seperti yang digariskan dalam al-Quran, kerana kepimpinan yang kukuh bermula dari rumah.
Mengulas mengenai pengisian konvensyen, Hussamuddin menyifatkan setiap pembentangan oleh penceramah sebagai “mind-blowing” dan sarat dengan idea di luar kebiasaan yang mampu membuka minda peserta.
“Perbincangan yang dibuat benar-benar out of the box. Saya sendiri merasakan banyak perkara baharu yang membuka minda,” katanya.
Beliau berharap para peserta dapat membawa pulang ilmu yang diperoleh serta melakukan perubahan dalam kehidupan masing-masing, khususnya dalam memperkukuh kedudukan ekonomi keluarga.
“Saya juga berharap lebih ramai pembuat keputusan, pemimpin keluarga serta wakil korporat akan menyertai konvensyen ini pada masa akan datang bagi membentuk agenda perubahan yang lebih tersusun demi memperkukuh kedudukan umat Islam di peringkat global,” katanya.
World #QuranConvention 2025 menghimpunkan pelbagai tokoh, pemikir dan penceramah dalam usaha mengangkat al-Quran sebagai panduan utama dalam pembinaan ekonomi dan kehidupan seharian.
Ringkasan AI
- Pembinaan ekonomi ummah perlu dimulakan dari peringkat keluarga sebagai asas kepada kekuatan wilayah, negara dan dunia Islam
- Pembangunan ekonomi berpandukan al-Quran mesti diperkukuh dari institusi keluarga sebagai unit paling asas dalam masyarakat
- Keutuhan ekonomi keluarga akan menyumbang secara langsung kepada kekuatan ekonomi negara dan mengukuhkan kedudukan ekonomi ummah
- World #QuranConvention berfungsi sebagai platform global bagi umat Islam untuk berkumpul dan membincangkan aplikasi ayat-ayat al-Quran dalam pengurusan kehidupan, termasuk aspek ekonomi
- Peserta konvensyen didedahkan kepada pendekatan tadabbur untuk memahami al-Quran dan menterjemahkannya dalam konteks sosial, ekonomi dan kepimpinan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
