Stesen minyak Pasir Tumboh disanitasi

Tempoh penutupan operasi selama 14 hari digunakan untuk kerja-kerja pembersihan pada skala besar oleh pemilik dan pihak berkuasa. -Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
Tempoh penutupan operasi selama 14 hari digunakan untuk kerja-kerja pembersihan pada skala besar oleh pemilik dan pihak berkuasa. -Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan kerja-kerja nyahcemar di sebuah stesen minyak yang terletak di Bandar Satelit Pasir Tumboh hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba El Taraff Mohammed Zachariah berkata, Operasi Sanitasi Awam dilakukan lebih sejam bermula pada 9 pagi dan berakhir 10.30 pagi.

“Seramai tiga anggota bertindak melakukan semburan nyahcemar menggunakan cecair Sodium Hypochloride dengan nisbah 1:10 di bahagian luar dan dalam premis.

“Operasi nyacemar ini meliputi kawasan sekitar berkeluasan 6,400 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi itu membabitkan sembilan anggota JBP dari Pasukan B dan dua anggota polis dari Balai Polis Kubang Kerian.

“Operasi turut membabitkan logistik iaitu seunit FRT, empat sut tyvek, tiga unit penyembur cecair dan pacuan empat roda.

“Cecair nyahcemar itu juga disembur pada pemegang pam minyak bagi memastikan bebas kuman,” katanya.

Dalam perkembangan sama El Taraff berkata, stesen minyak berkenaan masih menutup operasi selama tempoh 14 hari bermula 28 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

“Pihak JBP melakukan kerja-kerja sanitasi di tempat-tempat tumpuan awam seperti Pasar Siti Khadijah, Bazar Tok Guru, Pasar Berek 12 dan lokasi yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Sebelum ini, heboh diperkatakan orang ramai selepas seorang pekerja stesen minyak berkenaan dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dan menutup operasi atas arahan KKM.

Kesemua pekerja turut melakukan saringan di klinik kesihatan dan dikuarantin selama 14 hari selain kerja-kerja pembersihan berskala besar dilakukan di stesen minyak itu oleh pemiliknya.

Pihak stesen berkenaan sebelum ini turut menyiarkan kenyataan rasmi di media sosial berhubung kes berkenaan.

Pekerja tersebut juga dikatakan mendapat jangkitan Covid-19 di luar waktu bekerja iaitu dipercayai selepas solat jemaah di surau berdekatan rumahnya.