[VIDEO] Penternakan babi tidak wajar dibangunkan di kawasan dibantah penduduk - PM

A
A
A

PUTRAJAYA - Penternakan babi tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan dan bantahan penduduk setempat.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak menghalang ternakan babi, sebaliknya perlu ditangani secara rasional dengan mengambil kira aspek kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti.

“Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi dan tidak melarang orang bukan Islam makan babi. Tetapi kita juga tidak boleh memaksa masyarakat yang tidak menghendakinya untuk menerima ternakan itu di persekitaran tempat tinggal mereka," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut Anwar berkata, ternakan babi tidak seharusnya diteruskan di kawasan yang berpotensi mencetuskan kontroversi dan pertikaian awam, sebaliknya perlu mencari lokasi yang tidak menimbulkan masalah kepada komuniti setempat.

"Kalau di Kuala Lumpur tidak sesuai, maka tidak perlu. Kalau di Selangor sukar, maka sukarlah. Jangan cari masalah kerana isu bau, kesihatan dan najis itu masalah yang nyata.

“Saya sendiri tidak bersetuju jika ada ternakan babi di sekitar rumah saya di Sungai Long. Bukan kerana saya anti orang Cina makan babi, tetapi kerana masalah bau dan pengurusan najis yang menimbulkan ketidakselesaan,” katanya.

Tambah beliau, isu ternakan babi sama seperti isu rumah ibadat haram yang perlu diselesaikan melalui ketetapan, peraturan dan undang-undang, bukannya tindakan melulu atau bersifat emosi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau betul haram, janganlah pergi ambil kapak. Kena bagi masa, tapi kalau dibiar setahun pun tak selesai, itu pun masalah. Jadi mesti ada ketetapan dan peraturan dan hukum," katanya.

Justeru Anwar menegaskan pendekatan rundingan secara berhemah dan saling menghormati adalah kunci dalam menangani isu sensitif melibatkan kepentingan pelbagai pihak.

“Jawapannya bukan dengan bengis, bukan mencerca dan bukan menghina. Kita hormati hak orang yang makan babi, dan mereka juga perlu hormati hak kita untuk menjaga kawasan yang sesuai. Dengan cara itu, negara akan kekal aman,” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Penternakan babi tidak patut dibangunkan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk
  • Perdana Menteri menyatakan kerajaan tidak menghalang ternakan babi tetapi perlunya ditangani dengan rasional
  • Ternakan babi seharusnya tidak diteruskan di lokasi yang mencetuskan kontroversi
  • Isu ternakan babi perlu diselesaikan dengan peraturan dan undang-undang bukan tindakan emosi
  • Anwar menekankan kepentingan rundingan berhemah dan saling menghormati dalam menangani isu sensitif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!