'Sampai bila kami nak hadap pencemaran, bau busuk dari ladang babi?'

TASEK GELUGOR - Penduduk di sekitar Tasek Gelugor menggesa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan agar memberi perhatian serius terhadap isu pencemaran sungai dan bau busuk berpunca daripada aktiviti penternakan babi di Kampung Selamat, yang didakwa berlarutan lebih empat dekad tanpa sebarang penyelesaian.
Mereka mendakwa, kewujudan kira-kira 63 ladang penternakan babi yang menempatkan lebih 120,000 ekor haiwan ternakan itu menjadi punca utama pencemaran sungai sehingga dilaporkan berada pada tahap lima tanpa sistem rawatan sisa yang sempurna.
Menurut mereka, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah membimbangkan dari aspek kesihatan awam termasuk risiko penularan penyakit seperti Japanese Encephalitis (JE).
Seorang penduduk, Che Azmi Ahmad, 48, yang tinggal di Taman Sepadu Jaya, di sini berkata, beliau baru menetap di kawasan itu sejak tiga tahun lalu terpaksa berdepan masalah bau busuk hampir setiap hari.
Beliau yang sebelum ini menyewa di kawasan Sungai Dua meluahkan rasa kecewa apabila impian untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa di kediaman baharu tidak kesampaian apabila terpaksa menghidu udara busuk setiap hari hingga menjejaskan kualiti hidup sekeluarga.
"Kami membeli rumah di sini dengan harapan untuk hidup dalam suasana aman dan selesa, namun realitinya berbeza apabila bau busuk terlalu kuat hingga menyukarkan kami membuka pintu rumah.
"Keadaan menjadi lebih teruk pada waktu malam dan selepas hujan. Selain bau, kami turut berdepan masalah lalat dan nyamuk yang banyak," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan bantahan aman, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hisham Md Jusoh, 48, dari Taman Sepadu berkata, akibat masalah bau busuk yang berlaku setiap hari menyebabkan mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan bau busuk masuk ke dalam rumah.
Beliau yang tinggal di perumahan itu sejak 10 tahun lalu mengakui malu untuk mengajak adik-beradik mahupun rakan-rakan untuk datang ke rumah kerana masalah bau busuk yang amat memualkan.
"Memang kalau setiap kali raya saya tak akan ajak kawan-kawan bertandang ke rumah kerana malu dengan masalah bau busuk dari kandang babi di sekitar sini.
"Dulu bila kawan tanya bau busuk apa di sini? Saya cuma katakan bau dari ladang ayam tapi sekarang semua masyarakat sudah tahu masalah pencemaran bau di sini berpunca dari kandang babi.
"Sampai bila kami nak hadap pencemaran dan bau busuk yang menjijikkan ini, harap pihak yang berkenaan ambil tindakan segera dan selesaikan masalah kami," ujarnya.
Terdahulu, beberapa wakil penduduk menyerahkan 11 memorandum kepada wakil rakyat yang hadir pada perhimpunan aman berkenaan untuk dibawa kepada perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka turut menuntut agar kerajaan mempertimbangkan penutupan ladang-ladang penternakan babi yang menjadi punca utama pencemaran, selain melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap penternak babi di kawasan berkenaan.
Ringkasan AI
- Penduduk Tasek Gelugor menggesa kerajaan serius atasi pencemaran sungai dan bau busuk dari aktiviti penternakan babi
- Kira-kira 63 ladang penternakan babi dengan lebih 120,000 ekor haiwan menyebabkan pencemaran tahap lima tanpa rawatan sisa sempurna
- Pencemaran menjejaskan kualiti hidup dan membimbangkan dari aspek risiko penyakit seperti Japanese Encephalitis
- Penduduk terpaksa hidup dengan bau busuk setiap hari, menyukarkan membuka pintu dan tingkap rumah
- Wakil penduduk serahkan 11 memorandum, minta kerajaan pertimbangkan penutupan ladang babi dan lakukan pemantauan serta penguatkuasaan ketat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

