‘Muhyiddin Exit’ sedang dirancang? Bekas orang kanan bongkar serangan dalam PN

SHAH ALAM - Serangan secara berterusan dan konsisten dari dalam dan luar parti terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat hanya dengan satu tujuan jelas iaitu memaksa beliau berundur atau 'Muhyiddin Exit'.
Bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, ini dapat dilihat apabila di dalam parti, individu tertentu yang tugasnya menurut perlembagaan parti adalah membantu namun setiap hari menggunakan tangan-tangan kotor menyerang Presiden.
Menurutnya, dalam masa sama serangan demi serangan sedang rancak dilancarkan dari dalam parti rakan juga.
"Ramai yang sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek 'Muhyiddin Exit' berjaya.
"Bagi Pas, masalah Perikatan Nasional akan selesai apabila Muhyiddin berundur. Pas lantiklah orangnya sebagai Pengerusi PN.
"Tidak perlu lagi pinda perlembagaan PN. Cadangan mewujudkan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif pula hanyalah bertujuan untuk mengekang kuasa Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, bukan untuk memperkasakan PN.
"Apabila Muhyiddin berundur, kedua-dua majlis ini menjadi akademik, tidak guna," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, ketegangan dalam PN dilihat semakin meruncing termasuk konflik politik yang berlaku di Perlis.
Tambah Dr Marzuki, 'Muhyiddin Exit' bermaksud jawatan Presiden Bersatu juga akan jatuh ke tangan timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin jika bernasib baik.
Beliau berkata, namun menjadi persoalan sama ada beliau akan dicalonkan oleh PN untuk menjadi Perdana Menteri dalam Pilihanraya Umum ke-16 (PRU-16) atau tidak.
"Melihat keterujaan Pas untuk memimpin PN, jawapannya terlalu tipis. Pas ada empat lori calon PM.
"Tapi jika tidak silap, Hamzah tidak berhasrat menjadi calon PM yang bertanding dalam pilihanraya. Dia tahu kedudukannya di mana, Hamzah hanya mahu menjadi Presiden Bersatu.
"Sebagai Presiden Bersatu, Hamzah ada nilai yang amat tinggi di mata UMNO. Selaras dengan seruan Presiden UMNO supaya ahli-ahli UMNO yang meninggalkan parti itu kembali semula demi perpaduan Melayu, Hamzah akan bubarkan Bersatu dan semua ahlinya diserap menjadi ahli UMNO," ujarnya.
Beliau berpendapat, akhirnya UMNO berjaya menyatukan partinya dan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan, GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan selepas PRU 16.
"Bersatu berkubur, Pas akan kalah besar dalam PRU16.
"Saya bukan bomoh yang boleh meramal tapi bagi saya, kesan 'Muhyiddin Exit' ialah Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU 16.
"Kalau saya boleh menasihati Tan Sri Muhyiddin, exitlah. Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan," ulasnya.
Ringkasan AI
- Serangan berterusan terhadap Muhyiddin Yassin bertujuan memaksa beliau berundur
- Terdapat individu dalam Bersatu yang menyerang Muhyiddin setiap hari
- Pas berpendapat masalah Perikatan Nasional akan selesai dengan berundurnya Muhyiddin
- 'Muhyiddin Exit' bermaksud jawatan Presiden Bersatu mungkin jatuh ke tangan Datuk Seri Hamzah Zainudin
- Hamzah Zainudin mungkin akan membubarkan Bersatu dan menyertai UMNO jika menjadi Presiden Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

