'Kerja tetap jalan, sedang daki gunung pun kena jawab telefon'

Nur Shafira Aini menerima panggilan telefon ketika mendaki Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut,Pulau Tioman.
Nur Shafira Aini menerima panggilan telefon ketika mendaki Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut,Pulau Tioman.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekerja tidak mengenal tempat, malah ketika berada di puncak gunung sekalipun, tanggungjawab tetap perlu diutamakan.

Itulah yang dialami oleh Nur Shafira Aini Ishak, 30, apabila beliau tetap menjawab panggilan kerja semasa sedang mendaki Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut,Pulau Tioman.

Menurut Nur Shafira Aini, ketika telefon berdering dia bersama rakan yang lain sedang membuat pendakian di tempat yang curam.

Katanya, walaupun agak terkejut namun dia tetap menjawab panggilan itu kerana menerimanya berulang kali daripada rakan sekerja.

“Pada mulanya saya tak mahu angkat sebab tengah fokus mendaki, tapi bila telefon berbunyi banyak kali, saya terpaksa jawab juga kerana khuatir jika ada urusan kerja yang mustahak.

"Rupanya rakan sekerja perlukan pengesahan segera berkaitan maklumat kerja. Dia tak sangka saya dah sampai atas sebab masih awal dan ingat masih 'trekking'," katanya kepada Sinar Harian.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu mengakui terkejut dan tidak sangka terima panggilan masuk semasa memanjat gunung.

Jelasnya, bagaimanapun dia tidak kisah dan terima dengan hati terbuka.

"Walaupun agak terkejut pada awalnya namun perkara tersebut tidak menjejaskan aktiviti kami. Lagipun perbualan melalui telefon ini hanya untuk beberapa minit sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Selepas selesai semua urusan kerja, kami teruskan semula pendakian. Walaupun agak terganggu seketika, ia tidak menjejaskan semangat saya untuk menamatkan misi di Gunung Nenek Semukut,” ujarnya.

Katanya, pendakian itu tetap berjalan lancar dan pasukannya berjaya sampai ke destinasi yang ditetapkan tanpa sebarang masalah.

“Bagi saya, ini satu pengalaman yang cukup menarik dan pastinya tidak akan dilupakan. Bukan selalu kita dapat jawab panggilan kerja ketika sedang berada di atas gunung,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Bekerja tidak mengenal tempat, termasuk ketika berada di puncak gunung
  • Nur Shafira Aini Ishak menjawab panggilan kerja semasa mendaki Gunung Nenek Semukut, Pulau Tioman
  • Dia bersama rakan lain sedang mendaki di tempat yang curam ketika telefonnya berdering
  • Panggilan itu berasal daripada rakan sekerja yang memerlukan pengesahan segera berkaitan maklumat kerja
  • Pendakian berjalan lancar dan mereka berjaya sampai ke destinasi tanpa masalah, menjadikan pengalaman tersebut tidak akan dilupakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!