'Kajian belum siap, UIAM sudah dipandang rendah' - Nik Nazmi

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, susulan kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kajian cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan merendahkan keupayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, tindakan mempertikai kajian yang masih belum siap jelas mencerminkan sikap memandang rendah terhadap institusi pengajian tinggi berkenaan.
"Begitu sekali universiti Islam dipandang rendah, kajian belum siap lagi. Setiausaha parti Islam (Setiausaha Agung Pas) guna ilmu kasyaf dah tahu hasil kajian dan mampu mempertikaikan kajian.
"Apa pandangan alumni UIAM, Mohd Syahir Che Sulaiman (yang juga Ahli Parlimen Bachok)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Pada Khamis, Takiyuddin mempertikaikan pemilihan UIAM selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kini turut menimbulkan kontroversi.
Beliau berkata, PN ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan.
Atas dasar itu, Ahli Parlimen Kota Bharu tersebut menuntut diadakan sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab semua persoalan berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor berkata, cadangan untuk mengkaji pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur tersebut bukan perbincangan dibawa DAP semata-mata, malah ada figura politik lain yang turut membangkitkan saranan berkenaan termasuk Nik Nazmi.
Katanya, konsep pemilihan Datuk Bandar itu bukannya perkara baharu pun kerana di seluruh dunia, banyak negara demokrasi memang mengadakan pilihan raya Datuk Bandar.
"Jadi saya tidak nampak ini satu kontroversi, hanya kajian (dilakukan) untuk lihat sekiranya ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya.
"Malah ahli Parlimen lain di Kuala Lumpur termasuk daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyokong usaha ke arah pendemokrasian DBKL," ujar Anthony.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana memandang rendah UIAM dalam menjalankan kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur
- Takiyuddin mempertikaikan pemilihan UIAM sebagai institusi pendidikan untuk kajian tersebut
- Kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur belum siap
- Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyatakan cadangan kajian bukan hanya dari DAP tetapi juga didukung oleh figura politik lain
- Konsep pemilihan Datuk Bandar merupakan praktik global dan Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyokong pendemokrasian DBKL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

