Banjir dan tanah runtuh di Sumatera ragut 17 nyawa

Pasukan penyelamat memindahkan wanita dan kanak-kanak menaiki bot getah ketika banjir melanda kawasan perumahan di Padang, Sumatera Barat. Foto AFP
Pasukan penyelamat memindahkan wanita dan kanak-kanak menaiki bot getah ketika banjir melanda kawasan perumahan di Padang, Sumatera Barat. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA – Usaha menyelamat masih diteruskan di Sumatera selepas hujan lebat berpanjangan mencetuskan banjir kilat dan beberapa kejadian tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa, selain menyebabkan enam lagi dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Pasukan penyelamat berdepan cabaran besar untuk memasuki enam wilayah terjejas di utara Sumatera apabila sungai melimpah selepas seminggu hujan monsun, menghanyutkan lumpur, batu dan pokok yang memusnahkan penempatan di kawasan berbukit.

Di bandar Sibolga, yang paling teruk terjejas, sekurang-kurangnya lima mayat ditemukan pada Rabu bersama tiga mangsa yang cedera. Pencarian masih dijalankan bagi mengesan empat penduduk yang hilang.

Di daerah Tapanuli Tengah, tanah runtuh menimpa beberapa kediaman dan mengorbankan satu keluarga, manakala hampir 2,000 rumah serta bangunan dinaiki air.

Di Tapanuli Selatan, tujuh lagi mayat ditemukan, meningkatkan jumlah korban di daerah itu kepada lapan, selepas banjir dan tanah runtuh memaksa lebih 2,800 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara dan mencederakan 58 yang lain, menurut jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Abdul Muhari.

Tanah runtuh turut merosakkan 50 rumah di Tapanuli Utara, manakala dua jambatan utama di wilayah itu musnah. Banjir memutuskan sebuah lagi jambatan di Mandailing Natal dan menenggelamkan ratusan rumah di kawasan berbukit serta di bandar Padang Sidempuan. Di pulau Nias, laluan utama turut terhalang oleh lumpur dan serpihan runtuhan.

Rakaman di media sosial memaparkan air deras mengalir dari bumbung rumah ketika penduduk panik mencari tempat selamat. Di beberapa kawasan, arus deras membawa batang pokok dan sisa runtuhan sehingga menenggelamkan jalan raya.

Ketua Polis Sibolga, Eddy Inganta berkata, pusat pemindahan telah dibuka dan penduduk di kawasan berisiko tinggi diminta berpindah segera.

Beliau memberi amaran hujan berterusan boleh mencetuskan lebih banyak tanah runtuh selepas enam kejadian di bandar itu memusnahkan 17 rumah dan sebuah kafe.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan cuaca yang buruk serta gelongsoran lumpur menyukarkan operasi menyelamat,” katanya.

Kejadian pada Selasa itu berlaku pada hari sama Agensi Mitigasi Bencana Nasional menamatkan operasi mencari mangsa di dua kawasan di Pulau Jawa selepas 10 hari pencarian, susulan tanah runtuh yang mengorbankan 38 orang di Cilacap dan Banjarnegara.

Sekurang-kurangnya dua mangsa di Cilacap dan 11 di Banjarnegara masih belum ditemukan ketika operasi dihentikan, disebabkan keadaan tanah yang tidak stabil serta cuaca buruk yang menimbulkan risiko kepada pasukan penyelamat.

Hujan lebat bermusim dari Oktober hingga Mac sering menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Indonesia, sebuah negara kepulauan dengan 17,000 pulau, di mana jutaan penduduk menetap di kawasan tanah tinggi dan dataran banjir yang subur. - Agensi

Ringkasan AI

  • Usaha menyelamat masih diteruskan di Sumatera selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang membawa kepada sekurang-kurangnya 17 kematian
  • Pasukan penyelamat menghadapi cabaran besar memasuki enam wilayah terjejas di utara Sumatera
  • Di bandar Sibolga, paling teruk terjejas, ditemukan lima mayat dan empat penduduk hilang
  • Hampir 2,000 rumah dan bangunan dinaiki air di daerah Tapanuli Tengah akibat tanah runtuh
  • Tanah runtuh dan banjir di Tapanuli Selatan memaksa lebih 2,800 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!