Video tular tanah runtuh di Paya Terubong palsu - Exco

Tangkap layar video palsu kejadian tanah runtuh yang berlegar di media sosial.
Tangkap layar video palsu kejadian tanah runtuh yang berlegar di media sosial.
A
A
A

GEORGE TOWN - Video tular kejadian tanah runtuh yang kononnya dilaporkan berlaku di Paya Terubong di sini disahkan palsu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, video enam saat itu dijanakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu di media sosial.

"Berikut adalah video berita palsu (AI) yang sedang disebarkan melalui WhatsApps terhadap kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Paya Terubong.

"Diharap pelaku lebih bertanggungjawab terutama waktu-waktu seperti ini. Jangan sebar berita palsu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, tular video selama enam saat yang memaparkan kejadian tanah runtuh termasuk aliran air deras di kawasan Bukit Paya Terubong yang membawa pokok menimpa beberapa buah kenderaan.

Video yang disunting itu menyebabkan ramai pengguna di media sosial cemas dengan bencana yang berlaku selain ramai yang mendoakan agar penduduk berhampiran terhindar daripada sebarang insiden tidak diingini.

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan Anjung Indah sehingga mengakibatkan sebahagian laluan di Jalan Tun Sardon di sini ditutup sementara.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan dua lagi kejadian tanah runtuh baharu yang tidak kritikal dilaporkan terjadi lewat malam Khamis di Residensi 2, Teluk Kumbar dan Bukit Belah berhampiran SK Sungai Batu.

Selain itu, sebanyak 31 kes pokok tumbang dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan tindakan segera diambil oleh pasukan gabungan daripada MBPP, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta polis.

Kejadian runtuhan cerun berlaku di Bukit Bendera, manakala penutupan separa dilaksanakan di kawasan Titi Kerawang sepanjang jalan persekutuan berikutan faktor keselamatan.

Sejak 21 Oktober lalu, beberapa kejadian tanah runtuh kecil, jatuhan batu dan pokok tumbang turut dilaporkan di beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk Pearl Hill, Miami Green, Puncak Bukit Mutiara, kawasan Empangan Air Itam, Eco Terraces, Jalan Paya Terubong dan Jalan Teluk Bahang.

Ringkasan AI

  • Video tular tentang tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang adalah palsu dan dibuat menggunakan teknologi AI
  • Exco Pulau Pinang mengingatkan orang ramai jangan sebarkan berita palsu
  • Video palsu tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna media sosial
  • Kejadian tanah runtuh sebenar berlaku berhampiran kawasan Anjung Indah namun tiada mangsa cedera
  • Terdapat beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang yang dilaporkan di Pulau Pinang sejak 21 Oktober

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!