Kes e-waste: SPRM beku 2 akaun bernilai RM1 juta, sita wang tunai RM170,000

SPRM membekukan dua akaun bank bernilai RM1 juta dan menyita wang tunai RM170,000 susulan siasatan kes rasuah pengurusan sisa elektronik melibatkan pegawai kanan JAS
SPRM membekukan dua akaun bank bernilai RM1 juta dan menyita wang tunai RM170,000 susulan siasatan kes rasuah pengurusan sisa elektronik melibatkan pegawai kanan JAS
A
A
A

PUTRAJAYA – Dua akaun bank bernilai kira-kira RM1 juta dibekukan manakala wang tunai berjumlah kira-kira RM170,000 disita susulan siasatan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang melibatkan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta seorang individu awam.

Menurut sumber, siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula sejak 19 Januari lalu.

“Setakat ini, SPRM membekukan satu akaun syarikat bernilai kira-kira RM700,000.

“Selain itu, satu lagi akaun perbankan milik individu turut dibekukan membabitkan anggaran kira-kira RM300,000,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, dalam siasatan sama, pihak SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM170,000.

“Siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

“Ia berkaitan kegagalan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat pengurusan buangan terjadual yang terlibat dalam aktiviti pelupusan bahan buangan secara haram,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan seorang penolong pegawai JAS telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan, manakala seorang lagi individu awam direman selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste) pada Khamis.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Ringkasan AI

  • Dua akaun bank bernilai RM1 juta dibeku dan wang tunai kira-kira RM170,000 disita berkait isu pengurusan sisa elektronik
  • Siasatan melibatkan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah JAS dan seorang individu awam
  • SPRM menyiasat kes ini atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah terutamanya tidak mengambil tindakan terhadap syarikat pelupusan bahan buangan secara haram
  • Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan penolong pegawai JAS ditahan reman, manakala individu awam juga ditahan
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!