Lapisan batu keras, projek Pam Kemubu 3 tergendala lebih 160 hari

KOTA BHARU – Projek menaik taraf Sistem Pam Kemubu 3 di Sungai Kelantan di sini bagi pengairan sawah padi tergendala lebih 160 hari berikutan kerja menanam cerucuk di dasar sungai tidak dapat dilakukan kerana lapisan batu hampar yang keras dan tebal.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad berkata, keadaan sebenar struktur batu dan dasar sungai didapati lebih kompleks berbanding anggaran asal menyebabkan kerja tersebut terhenti sementara.
“Anggaran awal mendapati lapisan batu sungai tidak terlalu tebal, namun apabila kerja dijalankan, keadaannya jauh lebih mencabar.
“Ini memberi kesan kepada kos serta kaedah pelaksanaan penanaman cerucuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melihat ujian Sistem Pam Kemubu 4 di Stesen Pam Kemubu di sini pada Ahad.

Projek dijangka siap pada Mei ini dan dilaksanakan susulan pam sedia ada tidak berupaya menarik air dari sungai di bawah paras 2 meter serta menyalurkan ke sawah akibat daripada perubahan sungai selain kemarau.
Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan pihak kontraktor bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan itu.
“Projek ini tidak dibatalkan, sebaliknya hanya dihentikan sementara.
“Kami akan bertemu kontraktor bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Mengulas implikasi kelewatan itu, beliau berkata, bekalan air kepada pesawah tidak terjejas secara kritikal kerana sistem pam sedia ada, khususnya Pam Kemubu 2 selain Kemubu 4 yang bakal beroperasi bulan depan mampu menampung keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Sistem Pam Kemubu 1 yang dibina pada era 70-an tidak beroperasi ketika ini berikutan keperluan paras air yang tinggi serta kesukaran mendapatkan alat ganti lama.
“Pam lama memerlukan paras air Sungai Kelantan melebihi 4.9 meter untuk beroperasi, sedangkan keadaan itu kini jarang berlaku.
“Selain itu, kos penyelenggaraan juga tinggi,” katanya.
Beliau berkata, KADA akan terus memantau perkembangan projek Pam Kemubu 3 bagi memastikan ia dapat disambung semula tanpa menjejaskan perancangan jangka panjang sistem pengairan sawah di Kelantan.
Ringkasan AI
- Projek menaik taraf Sistem Pam Kemubu 3 tergendala lebih 160 hari kerana lapisan batu hampar yang keras
- Struktur batu dan dasar sungai lebih kompleks daripada anggaran asal
- Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad, menyatakan projek tidak dibatalkan, hanya dihentikan sementara
- Projek ini dijalankan untuk mengatasi masalah pam sedia ada yang tidak berupaya menarik air untuk pengairan sawah
- KADA akan terus memantau perkembangan projek bagi memastikan ia dapat disambung semula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

