Wanita hamil 5 bulan selamatkan kucing dibelit ular sawa dengan tangan kosong

Aksi wanita itu yang menyelamatkan kucing peliharaannya dibelit seekor ular sawa turut tular di YouTube. - Foto: Media Thailand/tular
Aksi wanita itu yang menyelamatkan kucing peliharaannya dibelit seekor ular sawa turut tular di YouTube. - Foto: Media Thailand/tular
A
A
A

THAILAND – Seorang wanita hamil bertindak berani menyelamatkan kucing peliharaannya yang dibelit seekor ular sawa menggunakan tangan kosong dalam kejadian awal pagi Isnin, 26 Januari lalu, di wilayah Nakhon Nayok.

Menurut laporan The Thaiger, wanita berusia 27 tahun itu ketika kejadian sedang hamil lima bulan bertindak pantas selepas menyedari kucing kesayangannya diserang reptilia berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila ibu bapanya terdengar bunyi bising dari bahagian belakang rumah yang dijadikan kawasan ternakan ayam.

Pemeriksaan mendapati seekor ular sawa sepanjang kira-kira empat meter sedang membelit kucing jantan peliharaan keluarga itu yang berusia dua tahun sehingga kelihatan tidak bergerak.

Wanita berkenaan kemudian bertindak membuka lilitan ular tersebut dengan tangannya tanpa menggunakan sebarang peralatan keselamatan sehingga haiwan berkenaan melepaskan cengkamannya.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan wanita itu turut menekan bahagian dada kucing berkenaan bagi membantu pernafasannya, sementara ahli keluarga lain menangkap ular sawa tersebut.

Usaha tersebut berjaya apabila kucing berkenaan perlahan-lahan menunjukkan tanda-tanda kehidupan dan kembali sedar, sekali gus mencetuskan kelegaan dalam kalangan ahli keluarga.

Menurut laporan sama, ular sawa itu dipercayai memasuki kawasan rumah berkenaan kerana tertarik dengan ternakan ayam.

Ular tersebut kemudian dimasukkan ke dalam guni sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Wanita hamil lima bulan menyelamatkan kucing peliharaannya dari ular sawa di Nakhon Nayok, Thailand
  • Insiden tersebut terjadi awal pagi Isnin, 26 Januari
  • Ular sawa empat meter tersebut ditemui sedang membelit kucing jantan berusia dua tahun
  • Wanita tersebut menggunakan tangan kosong untuk melepaskan cengkaman ular tanpa sebarang peralatan keselamatan
  • Kucing itu akhirnya berjaya diselamatkan dan ular sawa dilepaskan kembali ke habitat asalnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!