Suspek culik kanak-kanak alami gangguan emosi, didakwa di mahkamah esok

SHAH ALAM - Gangguan emosi dipercayai menjadi motif seorang lelaki bertindak menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun di Jalan Bakawali, Bukit Sentosa, 29 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan berkaitan kes ini telah dilengkapkan dan mendapat arahan untuk dijalankan pertuduhan.
"Sekiranya tiada sebarang halangan suspek yang merupakan seorang penganggur akan dituduh esok (Khamis).
"Pertuduhan terhadap suspek akan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, siasatan setakat ini mendapati punca kejadian dipercayai akibat gangguan emosi.
Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berdepan detik cemas apabila dipercayai dicabul dan dicederakan selepas ditarik lelaki tidak dikenali semasa melalui Jalan Bakawali, Bukit Sentosa di sini pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakak dan abangnya melalui jalan terbabit untuk ke pasar malam sebelum mereka didatangi seorang lelaki tidak dikenali telah menarik mangsa masuk ke dalam rumah.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak memukul mangsa menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkan kecederaan.
Susulan kes terbabit, polis kemudiannya memberkas pihak Polis Bukit Sentosa telah menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan di rumahnya.
Tambahnya, suspek berumur 23 tahun merupakan penganggur selain ujian saringan air kencing terhadapnya didapati positif dadah.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

