Letupan bunga api di Kulim berpunca daripada bahan piroteknik haram - KDN

KDN mengesahkan insiden letupan bunga api di Paya Besar, Kulim berpunca daripada bahan letupan piroteknik haram.
KDN mengesahkan insiden letupan bunga api di Paya Besar, Kulim berpunca daripada bahan letupan piroteknik haram.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan bahawa insiden letupan bunga api di Paya Besar, Kulim, Kedah, pada Isnin lalu berpunca daripada pembakaran bahan letupan yang disyaki jenis piroteknik.

Menurut KDN, bahan letupan berkenaan dikesan tidak mempunyai kelulusan dan dipercayai diperoleh secara haram untuk digunakan dalam pertunjukan tersebut.

“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan untuk dijual kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tegas kementerian itu, penjualan, pemilikan dan penggunaan bunga api atau mercun tanpa kelulusan sah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Susulan itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca sebenar serta individu yang bertanggungjawab.

“Setakat ini, dua suspek yang disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah telah ditahan.

“Siasatan merangkumi aspek kecuaian, pemilikan haram serta pengendalian bahan letupan tanpa kebenaran bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti dengan jelas,” katanya.

Kejadian yang berlaku pada jam 2.30 pagi itu turut menyebabkan 22 orang cedera, dengan sebahagian menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

KDN turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk penarikan semula kelulusan syarikat pengendali bunga api yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Orang awam serta penganjur aktiviti keramaian diingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan KDN serta PDRM,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, KDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat pemantauan sepanjang musim perayaan bagi memastikan undang-undang berkaitan bahan letupan dipatuhi sepenuhnya.

Ringkasan AI

  • Insiden letupan bunga api di Paya Besar, Kulim, Kedah berpunca daripada pembakaran bahan letupan piroteknik tanpa kelulusan
  • Bahan letupan diperoleh secara haram tanpa kebenaran untuk digunakan dalam pertunjukan
  • Penjualan, pemilikan, dan penggunaan bunga api tanpa kelulusan merupakan kesalahan mengikut Akta Bahan Letupan 1957
  • Dua suspek telah ditahan berkaitan dengan pembakaran bahan letupan tanpa permit sah
  • Ada 22 orang cedera akibat kejadian ini, dengan beberapa menerima rawatan di hospital

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!