Ceroboh tanah perkuburan PJS 4: JAIS, MAIS tiada kuasa roboh binaan - Mohd Shahzihan

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengosongan dan perobohan sebarang binaan oleh pihak tertentu khususnya dalam isu pencerobohan kawasan Tanah Perkuburan Islam PJS 4.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan itu hanya boleh dilakukan melalui pentadbir tanah kerajaan negeri selaras dengan peruntukan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 828].
"Bagi maksud tanah PJS 4, ia diwartakan bagi maksud tanah perkuburan orang Islam.
"Bagi tujuan pewartaan tersebut, peranan Pengarah JAIS adalah sebagai pegawai pengawal bertanggungjawab memastikan penggunaan tanah berkenaan mematuhi maksud pewartaan yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Shahzihan menjelaskan, tanah yang diwarta di bawah kawalan JAIS kekal sebagai tanah kerajaan negeri dan bukan milik pihak berkuasa agama itu.
"Jika berlaku pencerobohan atau penggunaan tanah yang tidak selaras dengan tujuan pewartaan, JAIS akan membuat aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
"Tindakan aduan kepada PDT inilah yang telah dilaksanakan oleh JAIS apabila berlaku pencerobohan tanah warta di PJS 4 tersebut," jelas beliau.
Mengulas lanjut, katanya, sebarang kos atau implikasi kewangan yang timbul akibat penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah juga tidak akan ditanggung menggunakan dana wakaf, zakat atau sumber Baitulmal termasuk Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) atau apa-apa dana awam lain di bawah kawalan JAIS atau MAIS.
"Dana-dana tersebut adalah amanah umat Islam dan hanya boleh digunakan mengikut tujuan asal penubuhannya selaras dengan prinsip syariah dan tadbir urus kewangan Islam yang berintegriti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Shahzihan menjelaskan, sebarang tindakan yang diambil adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa dan bukan di bawah kawalan pihak JAIS atau MAIS.
"Perkara ini juga turut melibatkan urusan pentadbiran rumah ibadat bukan Islam yang di luar bidang kuasa JAIS dan diuruskan oleh pihak kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

