Salji turun lagi di Florida, fenomena jarang berlaku

FLORIDA – Sebahagian kecil negeri Florida sekali lagi diselubungi salji pada pagi Ahad, sekali gus menandakan kejadian luar biasa apabila fenomena itu berlaku dua tahun berturut-turut dalam tempoh Januari.
Menurut laporan The Associated Press (AP), keadaan cuaca sejuk yang dipengaruhi oleh udara dingin menyebabkan salji turun secara ringkas di bahagian barat Panhandle Florida, termasuk kawasan rumput dan bumbung rumah, apabila titisan hujan terakhir bertukar menjadi kepingan salji.
Secara kebiasaan, salji lazimnya turun ketika musim sejuk antara Disember hingga Februari, dengan Januari mencatat suhu paling rendah di kebanyakan kawasan Hemisphere Utara, termasuk Amerika Syarikat.
Namun, kejadian salji di Florida dianggap luar biasa berikutan negeri itu beriklim tropika hingga subtropika.
Walaupun fenomena itu jarang berlaku di negeri yang dikenali sebagai Sunshine State, kejadian sama turut direkodkan kurang setahun lalu pada 21 Januari 2025 apabila kawasan berkenaan mencatat salji setebal hingga 20 sentimeter iaitu jumlah paling tinggi sejak akhir 1800-an.
Gambar dan video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kepingan salji kelihatan di kawasan pantai dan melekat pada daun pokok palma, namun salji tidak bertahan lama di jalan raya kerana suhu yang panas.
Lapisan putih nipis bagaimanapun sempat terbentuk di atas rumput sebelum mencair apabila suhu kembali meningkat.
Fenomena luar biasa itu turut dilaporkan berlaku di southeastern Alabama dan selatan Georgia yang mengalami keadaan musim sejuk serupa dalam tempoh kurang setahun.
Ringkasan AI
- Florida sekali lagi diselubungi salji pada pagi Ahad yang merupakan kejadian luar biasa berulang dua tahun berturut-turut dalam Januari
- Keadaan cuaca sejuk dipengaruhi oleh udara dingin menyebabkan salji turun secara ringkas di bahagian barat Panhandle Florida
- Salji di Florida dianggap fenomena luar biasa memandangkan negeri ini beriklim tropika hingga subtropika
- Kejadian salji yang jarang berlalu turut direkodkan kurang setahun lalu dengan jumlah paling tinggi sejak akhir 1800-an
- Fenomena serupa turut dilaporkan di southeastern Alabama dan selatan Georgia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

