Arika ikon kediaman terbaharu di Kubang Kerian

Perspektif Bangunan Arika dengan Gerbang Islam LED tertinggi.
Perspektif Bangunan Arika dengan Gerbang Islam LED tertinggi.
A
A
A

KOTA BHARU – Projek pembangunan bersepadu Arika di Kubang Kerian dijangka muncul sebagai mercu tanda baharu landskap hartanah Kelantan apabila siap sepenuhnya pada akhir tahun 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan kawasan itu sebagai hab perubatan dan kediaman premium negeri ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Malvest, Tan Kian Boon JP. berkata, Arika yang berketinggian 42 tingkat dan setinggi kira-kira 160 meter bukan sahaja bakal menjadi bangunan tertinggi di Kelantan, malah direka berteraskan konsep moden beridentitikan kesenian Islam serta kebudayaan tradisional Melayu.

Tan Kian Boon JP
Tan Kian Boon JP

Menurut beliau, elemen seni bina tersebut diterjemahkan melalui reka bentuk bangunan, motif hiasan serta pembinaan Gerbang Islam LED tertinggi yang menjangkau sehingga puncak bangunan di Aras 43, menjadikan Arika sebagai ikon kediaman bertingkat tinggi di negeri ini.

“Arika direka sebagai pembangunan bersepadu moden yang menyeimbangkan gaya hidup urban dengan nilai budaya dan keislaman, selari dengan identiti Kelantan,” katanya kepada pemberita.

Kian Boon memberitahu, lokasi strategik projek itu yang hanya terletak kira-kira 700 meter dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM) menjadikan Arika pilihan utama bagi golongan profesional perubatan, pensyarah, kakitangan universiti dan hospital, pelajar tempatan serta antarabangsa, selain pesakit dari luar negeri bersama keluarga mereka.

Menurutnya, kedudukan Arika di tepi jalan utama serta berhampiran pelbagai kemudahan komersial turut menyokong persekitaran kediaman yang selesa, lestari dan berteraskan kesejahteraan komuniti.

Dalam landskap persaingan hartanah di Kubang Kerian, beliau menjelaskan, Arika memiliki kelebihan tersendiri apabila direka khusus untuk memenuhi keperluan warga USM dan Hospital Pakar HPUSM, termasuk saiz unit, susun atur praktikal serta konsep kemudahan kediaman dan sewaan yang tinggi sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Arika juga merupakan bangunan kediaman bertingkat tinggi pertama di Kelantan yang menyasarkan pensijilan Green Building Index (GBI), sekali gus menyokong pembangunan mampan dan mesra alam.

Pengarah Urusan Kumpulan Malvest, Tan Kian Boon JP (dua, kiri) semasa Majlis Penutup Bumbung Arika Kubang Kerian di Kota Bharu. Pengarah Perancangan & Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu, Tpr Dr Hasnina Hassan (kanan), Pengarah Urusan Sentosa Jaya S/B, Dato’ Razali Daud (dua dari kanan) dan Pengarah YanJian Group Construction Malaysia, Boon Wang Min (kiri).
Pengarah Urusan Kumpulan Malvest, Tan Kian Boon JP (dua, kiri) semasa Majlis Penutup Bumbung Arika Kubang Kerian di Kota Bharu. Pengarah Perancangan & Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu, Tpr Dr Hasnina Hassan (kanan), Pengarah Urusan Sentosa Jaya S/B, Dato’ Razali Daud (dua dari kanan) dan Pengarah YanJian Group Construction Malaysia, Boon Wang Min (kiri).

Tambah beliau, projek berkenaan menawarkan lebih 45 kemudahan gaya hidup berkonsepkan resort bandar termasuk kolam renang infiniti, sky garden, gimnasium, gelanggang badminton dan pickleball terutama untuk memenuhi keperluan generasi muda.

Katanya lagi, ia termasuk kemudahan karaoke keluarga, perpustakaan, bilik permainan kanak-kanak, taman berkelah serta pelbagai fasiliti lain yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Dari sudut pelaburan, Kian Boon memberitahu, kekurangan bangunan kediaman tinggi berkualiti di sekitar Kubang Kerian menjadikan Arika satu-satunya pangsapuri perkhidmatan premium yang mampu memenuhi permintaan penginapan, khususnya dalam kalangan pelajar antarabangsa USM dan profesional perubatan.

“Permintaan berterusan daripada sektor pendidikan dan perubatan ini menjadikan Arika berpotensi menawarkan pulangan sewaan yang stabil serta peningkatan nilai hartanah jangka panjang,” ujarnya.

Arika utamakan aspek keselamatan

Beliau turut memaklumkan, Arika menjalinkan kerjasama dengan pengusaha penginapan jangka pendek terbesar di Malaysia iaitu Maplehome untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan homestay kepada pembeli, selain perancangan perkhidmatan bas komuter berulang-alik ke USM dan Hospital Pakar HUSM.

Menurutnya, aspek keselamatan turut diberi penekanan melalui sistem keselamatan pelbagai peringkat termasuk kawalan pengawal keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), kad akses, pengecaman plat kenderaan serta aplikasi pintar bagi menjamin keselesaan penghuni.

Mengulas pengurusan projek, Kian Boon berkata, Arika dibangunkan oleh pasukan profesional bertaraf antarabangsa termasuk Akitek A61 sebagai arkitek utama, perunding kejuruteraan ARUP, manakala kontraktor utama ialah YanJian  Group Construction Malaysia.

“Kami juga menyasarkan skor minimum 80 peratus bagi penilaian Kualiti dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Industri Malaysia (CIDB) sebagai jaminan kualiti pembinaan.

"Selain 668 unit kediaman dengan pelbagai susun atur, projek itu turut menempatkan 26 lot perniagaan premium di tiga tingkat podium yang bakal menempatkan perniagaan terpilih seperti makanan dan minuman, farmasi, kedai serbaneka, klinik dan perkhidmatan sokongan komuniti," katanya.

Menurut beliau, kehadiran komponen komersial itu dapat mewujudkan ekosistem perniagaan yang menyokong keperluan harian penghuni. Selain itu, bilangan penghuni daripada 668 unit Arika serta penduduk-penduduk sekitar seperti warga USM juga dapat menarik jenama-jenama terkemuka untuk beroperasi di lot-lot perniagaan, sekali gus meningkatkan nilai komuniti dan potensi pelaburan keseluruhan projek.

“Dengan rekod kejayaan pembangunan Troika Kota Bharu sebelum ini, kami yakin Arika bakal menjadi mercu tanda baharu hartanah premium di Kelantan, khususnya di Kubang Kerian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!