KRU sebak ketika konsert, Norman dedah bapa kritikal tiga minggu lalu

Menurut Norman, dia menjadi sebak apabila adiknya, Edry bercakap mengenai perihal ayah mereka ketika konsert sedang berlangsung. Foto Gempak
Menurut Norman, dia menjadi sebak apabila adiknya, Edry bercakap mengenai perihal ayah mereka ketika konsert sedang berlangsung. Foto Gempak
A
A
A

KUMPULAN KRU berkongsi mengenai momen sebak yang berlaku sewaktu penganjuran konsert mereka di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil pada Sabtu.

Menurut Datuk Norman Abdul Halim selaku ketua kumpulan, dia menjadi sebak apabila adiknya, Edry bercakap mengenai perihal ayah mereka ketika konsert sedang berlangsung.

Perjelas Norman, ayahnya iaitu Abdul Halim Kamal, 84, dimasukkan ke hospital tiga minggu yang lalu akibat jangkitan bakteria pada hati.

“Apa yang membuatkan saya sebak dan sedih apabila Edry menyebut mengenai bapa kami.

“Lebih kurang tiga minggu yang lalu, ayah kami berada dalam kritikal sehingga perlu dimasukkan ke hospital.

“Ketika kami buat persediaan untuk konsert pun otak saya serabut apatah lagi dua beradik saya yang lain. Hari-hari ulang alik ke hospital sambil buat latihan untuk konsert,” katanya kepada Gempak.

Norman berkongsi perkara tersebut usai konsert GenKRU: The Finale bertempat di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norman memaklumkan, mereka bertambah sedih apabila mengenangkan hasrat ayah mereka yang mahu melihat kesemua mereka mengadakan konsert namun tidak kesampaian atas faktor kesihatan.

Walau bagaimanapun, Norman meluahkan rasa syukur kerana keadaan kesihatan bapanya sudah beransur pulih.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang turut membuatkan kami sebak sebenarnya ialah ayah kami nak tengok kami perform pada konsert malam tadi (Sabtu).

“Cuma bila dia kata nak tengok konsert dalam keadaan dia yang kurang sihat, saya cuba lembutkan hati dia dengan kata yang konsert malam ini ramai orang jadi takut dia tak selesa.

“Jadi saya cadang dan berkata pada bapa saya untuk bawa dia menaiki cruise sewaktu showcase kami pada awal Januari nanti.

“Dan Alhamdulillah ketika ini, dia sudah semakin pulih,” kongsinya.

Sementara itu, Iman Tang selaku penganjur kepada konsert GenKRU memohon agar orang ramai dapat mendoakan kesihatan bapa kepada kesemua ahli kumpulan KRU.

“Mungkin apa yang dikongsikan Norman sedikit peribadi tapi saya minta agar kita semua mendoakan kesihatan bapa mereka semua,” ujarnya.

Pada Sabtu, kumpulan KRU yang terdiri daripada Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry berjaya menggamatkan stadium dengan persembahan yang cukup bertenaga di hadapan hampir 12,000 penonton yang hadir.

Pada malam konsert tersebut, mereka telah menyanyikan kira-kira 16 buah lagu termasuklah lagu bersama artis jemputan seperti Rabbani, Datin Juliana Banos, Elite dan Adam AF2. - Gempak

Ringkasan AI

  • Kumpulan KRU mengadakan konsert di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil
  • Datuk Norman Abdul Halim sebak kerana adiknya, Edry, menyebut tentang ayah mereka dalam konsert
  • Ayah mereka, Abdul Halim Kamal, dimasukkan ke hospital akibat jangkitan bakteria pada hati tiga minggu lalu
  • Norman merasa sedih kerana ayah mereka ingin melihat konsert tapi tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan
  • Keadaan kesihatan ayah kepada ahli KRU sudah beransur pulih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!