Isu integriti: Tiada campur tangan, kerajaan serah sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa

PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan tidak akan campur tangan dalam sebarang tindakan yang diambil oleh badan penguatkuasaan, khususnya melibatkan isu integriti dan salah laku, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada agensi berkaitan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penegasan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
Ujar beliau, Anwar mahu aspek penguatkuasaan diberikan perhatian serius oleh semua anggota Jemaah Menteri kerana tindakan atau sikap yang tidak membantu boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
"Di pihak Jemaah Menteri, kita tidak mengambil apa-apa tindakan. Ini adalah tindakan daripada pihak badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasua Malaysia (SPRM) seperti yang telah diambil terhadap ketua pengarah dan timbalan sebuah jabatan.
"Kita serah sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan dan peringatan yang diberikan itu juga telah disusuli oleh kenyataan Ketua Setiuasaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada semua ketua setiausaha kementerian untuk pastikan aspek-aspek integriti diperkemas serta tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini.
Terdahulu ketika berucap di Majlis Amanat Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Penguakuasa Berkaitan Jenayah Kewangan, Anwar menzahirkan rasa kecewa apabila kelemahan berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya melibatkan penyeludupan, pencerobohan serta kegiatan gelap yang masih berlaku dalam negara.
Beliau mengakui hilang sabar dengan situasi itu turut memberi tempoh seminggu kepada ketua agensi penguatkuasa mempertimbangkan untuk pertukaran jawatan sekiranya tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Anwar telah minta supaya tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap warga asing, penggembara yang telah menyalahgunakan pas sosial ataupun kelonggaran dari segi pemberian visa untuk bekerja.
Jelas beliau, seramai 54,791 orang yang telah diperiksa dan diambil tindakan sejak tahun lalu sehingga pertengahan Januari ini.
"Pada tahun 2025 jumlahnya adalah 51,100 manakala untuk bulan pertama tahun ini adalah seramai 3,691 orang telah diperiksa," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan menegaskan tidak akan campur tangan dalam tindakan badan penguatkuasaan berkaitan isu integriti dan salah laku
- Penegasan ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet
- Anwar menekankan kepentingan aspek penguatkuasaan dan meminta anggota Jemaah Menteri memberikan perhatian serius
- Anwar memberi tempoh seminggu kepada ketua agensi penguatkuasa untuk mempertimbangkan pertukaran jawatan jika tidak berkesan
- Tindakan penguatkuasaan lebih tegas telah diminta terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas sosial atau visa kerja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

