Amaran keras PM satu isyarat ke arah penambahbaikan berterusan

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

PUTRAJAYA - Amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya menjadi satu isyarat jelas ke arah penambahbaikan berterusan, pengukuhan akauntabiliti dan budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan turut memerlukan sokongan menyeluruh termasuk dari segi kepimpinan berwibawa, sistem kerja yang cekap serta kebajikan warga perkhidmatan awam yang sentiasa diberi perhatian.

"Cuepacs berpandangan bahawa ketegasan ini mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan penguatkuasaan negara sentiasa berada pada tahap terbaik, berintegriti serta memenuhi jangkaan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas teguran keras Anwar kepada ketua agensi penguatkuasa untuk memperbaiki kelemahan susulan penyeludupan, pencerobohan dan salah laku serta kegiatan gelap yang masih berlaku dalam negara meskipun beliau sudah tiga tahun mengambil alih pucuk pimpinan.

Perdana Menteri yang sudah hilang sabar dengan situasi itu turut memberi tempoh selama seminggu agar pegawai kanan bekenaan mempertimbangkan untuk pertukaran jawatan sekiranya tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Sehubungan itu, Cuepacs menyeru semua penjawat awam agar menjadikan kenyataan YAB Perdana Menteri ini sebagai pemangkin untuk mempertingkatkan mutu kerja, memperkukuh kepercayaan rakyat serta terus menyokong aspirasi kerajaan dalam membina tadbir urus yang telus, cekap dan berkesan demi kepentingan negara.

"Setiap pegawai bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh profesionalisme dan integriti," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk penambahbaikan dan pengukuhan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam
  • Datuk Dr Adnan Mat menyatakan kejayaan dasar memerlukan kepimpinan berwibawa dan kebajikan warga perkhidmatan awam yang diperhatikan
  • Cuepacs melihat ketegasan ini sebagai refleksi komitmen kerajaan untuk perkhidmatan awam yang berkualiti dan berintegriti
  • Anwar mengkritik kelemahan dalam penguatkuasaan dan memberi tempoh seminggu untuk pertimbangan pertukaran jawatan bagi yang tidak efektif
  • Cuepacs menggalakkan penjawat awam meningkatkan mutu kerja dan menyokong tadbir urus kerajaan yang telus dan berkesan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!