Penjawat awam culas: Ketegasan PM pelihara integriti institusi negara - MAPIM

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Ultimatum dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan kesungguhan reformasi pentadbiran, selain langkah tegas terhadap penjawat awam yang culas adalah perlu bagi memelihara integriti institusi negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketegasan itu bukan satu ancaman politik, sebaliknya merupakan peringatan moral dan institusi penting demi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

Menurutnya, amanah adalah teras utama perkhidmatan awam kerana penjawat awam memegang kuasa bagi pihak rakyat dan kegagalan melaksanakannya dengan jujur disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap negara.

“Negara tidak boleh ditadbir oleh budaya selesa dan kebal. Apabila kegagalan tidak lagi membawa akibat, sistem akan menjadi lumpuh dan kepercayaan rakyat akan runtuh,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ultimatum itu turut mengembalikan maruah perkhidmatan awam dengan menegaskan bahawa setiap jawatan adalah satu tanggungjawab, bukan keistimewaan.

Mohd Azmi menegaskan, reformasi hanya akan bermakna sekiranya disertai dengan keberanian, termasuk ketegasan untuk membersihkan pentadbiran daripada kelemahan, rasuah dan sikap lepas tangan.

Tambahnya, rakyat menuntut kepimpinan yang tegas dan berprinsip, selain memberi isyarat jelas bahawa era berkompromi dengan ketidakcekapan perlu ditamatkan.

Pada masa sama, MAPIM berpandangan ketegasan itu perlu diiringi dengan penilaian prestasi yang telus dan adil, perlindungan kepada penjawat awam berintegriti, tindakan berperingkat terhadap ketidakcekapan serta salah laku, dan pembudayaan kerja berasaskan amanah serta khidmat.

“Negara tidak diselamatkan oleh retorik, tetapi oleh keberanian menegakkan amanah. MAPIM berdiri bersama setiap langkah yang membersihkan institusi negara demi keadilan dan kepercayaan rakyat,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Ultimatum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan kesungguhan reformasi pentadbiran dan keperluan tegas terhadap penjawat awam culas untuk memelihara integriti institusi negara
  • Ketegasan tersebut bukan ancaman politik tetapi peringatan moral untuk memastikan integriti perkhidmatan awam terjaga
  • Amanah dianggap teras utama perkhidmatan awam dengan kegagalan menjalankan amanah dilihat sebagai pengkhianatan terhadap negara
  • Ultimatum itu menekankan setiap jawatan dalam perkhidmatan awam merupakan tanggungjawab bukan keistimewaan
  • Reformasi dalam pentadbiran memerlukan keberanian termasuk ketegasan membersihkan pentadbiran dari kelemahan, rasuah dan sikap lepas tangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!