GLIC terjemah nilai Madani kepada tindakan dan impak pada 2025

LTAT melaksanakan inisiatif bersasar dikenali sebagai Kem Santuni MADANI yang memfokuskan kepada kem ATM di seluruh negara.
LTAT melaksanakan inisiatif bersasar dikenali sebagai Kem Santuni MADANI yang memfokuskan kepada kem ATM di seluruh negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR -  Tahun 2025 meninggalkan catatan bermakna buat Malaysia apabila syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tampil bukan sekadar sebagai pengurus dana negara tetapi rakan pembangunan yang hadir bersama rakyat, menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI dan GEAR-uP kepada tindakan nyata di lapangan.

Sepanjang tahun itu, enam GLIC utama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), telah memanfaatkan pelaburan, kepakaran serta jaringan kerjasama strategik bagi menyantuni keperluan rakyat secara menyeluruh dan bersasar.

Daripada kampung di luar bandar dan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan tempat kerja, pendekatan kolektif ini membentuk satu ekosistem sokongan nasional yang memastikan kemajuan di bawah Ekonomi MADANI tidak terhenti di peringkat dasar, sebaliknya dirasai dalam kehidupan seharian melalui pendidikan, pembangunan bakat dan sokongan kelangsungan hidup.

Mengulas mengenai impak kolektif inisiatif itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata: "Satu daripada ukuran kejayaan Ekonomi MADANI adalah kesannya kepada kehidupan rakyat, keadaan pelajar dalam bilik darjah, keluarga dalam komuniti, serta generasi muda Malaysia yang memasuki alam pekerjaan.

"GEAR-uP menjadi platform bagi GLIC untuk menterjemahkan aspirasi nasional kepada tindakan nyata yang berterusan dan inklusif, meluaskan peluang serta meningkatkan darjat kehidupan rakyat.”

Beliau menegaskan usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan berfokuskan rakyat yang berpandukan tadbir urus yang cekap.

"Apabila institusi awam bergerak seiring dengan tujuan yang jelas dan akauntabiliti, pertumbuhan negara bukan sahaja angka di atas kertas tetapi kemakmuran yang bermakna dan dirasai oleh rakyat,” tambah beliau.

Antara teras utama penglibatan GLIC pada 2025 ialah pelaksanaan Kampung Santuni MADANI, satu inisiatif bersifat menyeluruh yang menumpukan kepada intervensi berasaskan keperluan sebenar komuniti, dengan pendekatan berteraskan empati, maruah dan kefahaman setempat.

Dalam ekosistem pertahanan negara, LTAT melaksanakan inisiatif bersasar dikenali sebagai Kem Santuni MADANI yang memfokuskan kepada kem ATM di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Dengan nilai sokongan melebihi RM500,000 merangkumi lima kem, program ini memberi manfaat kepada lebih 5,700 keluarga warga tentera melalui naik taraf infrastruktur, bantuan kebajikan, perkhidmatan kesihatan serta program literasi kewangan, hasil kerjasama bersama syarikat kumpulannya.

Inisiatif yang dilancarkan pada Mac dan disempurnakan sepenuhnya menjelang Disember 2025 itu meliputi kem di Sabah dan Pulau Pinang, dengan penambahbaikan kepada kemudahan komuniti, ruang ibadah dan persekitaran tempat tinggal, selain penyampaian bantuan bersasar kepada keluarga asnaf dan B40.

PNB pula mengangkat dua kampung iaitu Kampung Merlimau Pantai, Melaka, dan Kampung Telok Kandis, Kedah, dengan peruntukan RM1.32 juta di bawah rangka kerja Satu Pemimpin Satu Kampung dan GEAR-uP.

Inisiatif tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 700 penduduk melalui sokongan keusahawanan mikro, biasiswa TVET untuk belia, penambahbaikan infrastruktur komuniti serta bantuan kebajikan kepada isi rumah asnaf.

KWSP memfokuskan usaha Kampung Santuni MADANI di Kampung Melayu Subang, Kwasa Damansara dengan menumpukan kemahiran kebolehpasaran dan keusahawanan, serta kesejahteraan komuniti bagi memperkukuh kelangsungan hidup, daya tahan dan keupayaan berdikari.

Rangka kerja pembangunan komuniti dan pemerkasaan sosial KWSP turut merangkumi literasi kewangan untuk belia serta literasi digital untuk warga emas. Intervensi ini adalah selaras dengan mandat KWSP dalam memperkukuh keselamatan kewangan jangka panjang dan kesejahteraan sosial.

Di Kelantan, KWAP telah memilih Kampung Kandis, Bachok, di bawah inisiatif Kampung Santuni MADANI yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk, termasuk pesara, ibu tunggal dan isi rumah asnaf.

Sebanyak RM210,000 telah disalurkan bagi menyokong pelbagai inisiatif bantuan komuniti, termasuk sumbangan sebuah van jenazah melalui zakat wakalah warga KWAP, pengagihan kit keperluan asas, serta pek MyPesara Prihatin.

Usaha ini telah memperkukuh sistem sokongan sosial setempat, dengan program libat urus dilaksanakan secara berperingkat dan masih diteruskan selepas pelancarannya pada bulan Mei 2025.

Selain itu, Khazanah pula telah memilih Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di Kuala Lumpur, dengan melaksanakan pelbagai program bersasar dan berasaskan komuniti sepanjang tahun melalui kerjasama wakil penduduk serta rakan komuniti.

Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan segera di samping menyokong kesejahteraan komuniti jangka panjang, termasuk bantuan kepada pelajar sekolah, bantuan makanan sempena musim perayaan, penganjuran sambutan peringkat komuniti dan kebangsaan, serta inisiatif sokongan mata pencarian.

Usaha ini telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 individu, selaras dengan objektif program yang bersifat inklusif dan berteraskan pemerkasaan.

Pendidikan pula muncul sebagai teras kedua penglibatan GLIC pada 2025 menerusi Sekolah Angkat MADANI, mencerminkan keyakinan bersama bahawa pendidikan kekal sebagai pemacu utama mobiliti sosial antara generasi dan kemajuan jangka panjang negara.

Menerusi sokongan syarikat kumpulannya, LTAT mengangkat kesemua 38 sekolah yang terletak dalam kem ATM di seluruh negara dengan sumbangan melebihi RM1.2 juta bagi mempertingkatkan persekitaran pembelajaran lebih 24,000 pelajar dan warga pendidik melalui naik taraf infrastruktur, penggunaan alat digital serta pelaksanaan program kemahiran masa depan.

Sementara PNB pula mengangkat 19 sekolah di seluruh negara dengan pelaburan RM356,700, berfokuskan kepada penambahbaikan fasiliti, penglibatan sukarelawan serta pengukuhan hubungan antara pendidikan dan kebolehpasaran masa depan, khususnya melalui pendedahan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

KWSP menyokong 10 sekolah di seluruh negara, memperkasa murid berisiko dan guru melalui bilik darjah digital, peralatan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembangunan kapasiti guru yang berstruktur, sekali gus meningkatkan penglibatan, memperbaiki kehadiran dan memperkukuh hasil pembelajaran.

Khazanah juga telah menyokong 10 sekolah di Johor, Perak dan Kuala Lumpur, dengan melaksanakan intervensi yang disesuaikan untuk menambah baik kemudahan pembelajaran, persediaan menghadapi peperiksaan serta kebajikan pelajar.

Program ini telah memberi impak positif kepada lebih 9,500 pelajar dan guru, selaras dengan agenda MADANI kerajaan yang menekankan pendidikan inklusif dan berkualiti.

KWAP pula telah memilih 10 sekolah juga di Bachok di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI.

Program ini memberi manfaat kepada lebih 4,300 pelajar dan guru melalui penyediaan peralatan bilik darjah pintar, pek kelengkapan persekolahan, serta penambahbaikan infrastruktur yang memperkukuh persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Inisiatif ini turut merangkumi program pembangunan dan pemerkasaan guru yang komprehensif bagi menyokong tenaga pengajar serta meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah yang terlibat. Program ini melibatkan pelaburan berjumlah RM1.13 juta dari 2025 hingga suku pertama 2026.

Melangkah ke hadapan, Tabung Haji akan memperluaskan sokongan Sekolah Angkat MADANI kepada 14 institusi pendidikan Islam di seluruh negara bermula awal 2026, melibatkan madrasah, pusat tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama, dengan peruntukan RM1.4 juta.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan prasarana pembelajaran, peningkatan keupayaan guru serta sokongan kepada program akademik dan pembinaan sahsiah pelajar, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik dalam pembangunan pendidikan ummah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Selain komuniti dan sekolah, GLIC turut memberi penekanan besar kepada pembangunan bakat dan kebolehpasaran tenaga kerja pada 2025, selaras dengan rangka kerja GEAR-uP bagi memperkukuh mobiliti sosial dan daya saing masa depan negara.

Program K-Youth oleh Khazanah diperluaskan di peringkat nasional, memberi manfaat kepada 8,220 belia melalui latihan, penempatan pekerjaan dan bimbingan industri bagi menangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kemahiran.

Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT pula menyokong veteran ATM beralih ke kehidupan sivil melalui latihan keusahawanan berstruktur, bimbingan berterusan dan penggunaan alat digital, dengan peserta merekodkan pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan sepanjang tahun.

PNB turut memperluas akses kepada pendidikan teknikal dan vokasional menerusi program BUDI-TVET untuk pelajar asnaf dan B40, manakala Program Iqra’ IPTA oleh Tabung Haji membantu hampir 65,000 pelajar universiti kurang berkemampuan pada 2025 melalui bantuan kewangan, komputer riba dan sokongan kebajikan bagi memastikan kelangsungan pengajian tinggi.

Menutup lembaran 2025, jejak kolektif GLIC mencerminkan kisah kehadiran, kerjasama dan tujuan bersama, apabila kesemua institusi ini bergerak melangkaui peranan pengurusan kewangan untuk berjalan seiring rakyat, menterjemahkan nilai MADANI kepada hasil yang dapat dirasai, serta menegaskan bahawa pembinaan negara menjadi paling bermakna apabila kemajuan benar-benar sampai kepada rakyat. - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!