PM arah penguatkuasaan menyeluruh, pantau kuasa di peringkat tertinggi, menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah Taman Greenwood. Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah Taman Greenwood. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan di semua peringkat pentadbiran bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan benar-benar berkesan.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat, termasuk meneliti aspek penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan.

“Kita mesyuarat dalam mesyuarat Jemaah Menteri tadi kita bincangkan tentang penguatkuasaan dan saya tahu ada beberapa tindakan telah diambil, namun bukan mudah untuk berpuas hati bagi memastikan ia dilaksanakan di setiap peringkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid QR Rahman, Taman Greenwood, di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, kerajaan maklum terdapat tindakan yang telah dan sedang diambil khususnya di peringkat bawahan melibatkan aspek kebersihan, pelaksanaan serta penguatkuasaan.

Namun tegasnya, usaha itu mesti disertai dengan gerakan serta nasihat yang berterusan dengan penglibatan seluruh kekuatan negara bagi memastikan pembaikan dapat dilakukan secara menyeluruh.

“Hanya dengan pendekatan menyeluruh barulah negara ini dapat diperbaiki. Namun hakikatnya, kerosakan selalunya bermula dari puncak, dari peringkat atasan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar kuasa di peringkat tertinggi termasuk ketua-ketua agensi, ketua pengarah, pengarah-pengarah serta semua menteri dipantau dengan teliti.

Pada masa sama, perhatian serius turut perlu diberikan di peringkat bawahan melibatkan isu gerai, pelaksanaan kebersihan, kemasukan pekerja asing yang tidak mematuhi peraturan, pelanggaran undang-undang serta situasi warga asing bekerja dan menerima bantuan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan supaya tindakan diumumkan beberapa hari lalu diteruskan sehingga benar-benar memberi kesan positif bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada negara.

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya pelaksanaan penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan di semua peringkat pentadbiran
  • Penguatkuasaan tersebut termasuk aspek di peringkat Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan
  • Usaha penguatkuasaan harus disertai dengan gerakan dan nasihat yang berterusan dengan penglibatan seluruh kekuatan negara
  • Anwar menegaskan pemantauan teliti terhadap kuasa di peringkat tertinggi termasuk ketua-ketua agensi dan menteri
  • Perhatian perlu diberikan pada peringkat bawahan terutama isu kebersihan, kemasukan pekerja asing, dan pelanggaran undang-undang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!