KPM selesai adakan pertemuan bincang subjek Bahasa Melayu, Sejarah

FAHMI
FAHMI
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selesai mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk wakil sekolah antarabangsa, Maahad Tahfiz serta Dong Zong bagi membincangkan pelaksanaan untuk mewajibkan pengambilan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibentangkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurutnya, pertemuan yang berlangsung pada minggu ini berjalan dengan baik dan hasrat kerajaan diterima positif oleh semua pihak yang hadir.

“Pertemuan ini membolehkan penyelarasan antara pelbagai aliran sekolah dibuat dengan lancar bagi memastikan pelaksanaan dasar pendidikan dapat dijalankan seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Fahmi berkata, pertemuan itu akan disusuli Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) minggu hadapan bagi meneliti laluan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Jadi setelah kedua-dua KPM dan KPT selesai mengadakan perbincangan-perbincangan ini, Insya-ALLAH pihak kementerian akan mengeluarkan kenyataan susulan," jelas beliau.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM sebagai langkah untuk mengelakkan hal berkaitan syarat kemasukan ke universiti awam (UA) juga tidak lagi berbangkit.

Mengulas pertanyaan mengenai kos pembinaan bilik darjah yang dilaporkan mencecah RM580,000 setiap satu, Fahmi berkata, ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan menekankan bahawa isu prasarana pendidikan tetap menjadi keutamaan dan hasrat untuk menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi pembinaan bilik darjah akan diteruskan untuk memastikan kos dan keberkesanan dapat dipertingkatkan.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini akan dipantau dan diikuti dengan perbincangan lanjut bersama KPM bagi mendapatkan penjelasan terperinci,” katanya.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat, Fadhlina memaklumkan kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini iaitu bertambah sekali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.

Bagi tempoh 2016 hingga 2020, kos pembangunan tersebut dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berbincang tentang wajibnya Bahasa Melayu dan Sejarah untuk SPM
  • Pertemuan diadakan dengan wakil sekolah antarabangsa, Maahad Tahfiz, dan Dong Zong
  • Pertemuan mendapat respons positif dan membantu penyelarasan pelaksanaan dasar pendidikan
  • KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti laluan ke IPTA melalui perbincangan lanjut
  • Perdana Menteri telah umumkan keperluan BM dan Sejarah di SPM untuk memudahkan syarat kemasukan ke UA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!