Risiko perpecahan PN ketara

SHAH ALAM - Risiko perpecahan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin ketara susulan pergolakan yang memperlihatkan kegagalan komunikasi dalaman serius antara parti komponen dalam gabungan itu.
Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, situasi itu secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti pembangkang sebagai alternatif kerajaan sekiranya pertikaian awam berterusan dan tiada konsensus dicapai.
Namun menurutnya, perpecahan tidak semestinya berlaku jika Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengutamakan muafakat serta menghormati keputusan rakan gabungan.
"PN perlu segera kembali kepada meja rundingan dengan sikap saling menghormati, bukan melalui cadangan sepihak atau notis mesyuarat yang tidak melibatkan semua pihak.
"Gabungan ini mesti ingat bahawa rakyat menaruh harapan kepada mereka sebagai pembangkang yang kuat dan jika terus bertelagah sesama sendiri, bukan sahaja kredibiliti PN akan terjejas, malah peluang dalam Pilihan Raya Umum akan datang turut terancam," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu Muhammad Afifi berpandangan, situasi yang berlaku ketika ini menyebabkan PN berada dalam keadaan tidak menentu susulan pertelingkahan terbuka membabitkan isu kepimpinan dan struktur gabungan.
"Seperti dibimbangkan (Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri) Tuan Ibrahim, keadaan ini buka ruang kepada Pakatan Harapan - Barisan Nasional untuk memecahbelahkan PN," ujarnya.
Ringkasan AI
- Risiko perpecahan Perikatan Nasional semakin ketara akibat kegagalan komunikasi dalaman
- Kredibiliti pembangkang terjejas jika pertikaian awam berlanjutan tanpa capaian konsensus
- Muafakat dan menghormati keputusan gabungan dapat mengelak perpecahan Pas dan Bersatu
- PN disarankan untuk kembali ke meja rundingan dengan sikap saling menghormati
- Pertelingkahan terbuka dalam PN boleh menguntungkan Pakatan Harapan - Barisan Nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

