Muhyiddin masih Pengerusi PN selagi MT tidak lulus peletakan jawatan - Marzuki

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berstatus Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selagi Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu tidak meluluskan peletakan jawatannya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan PN.
Menurut bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan itu, Datuk Dr Marzuki Mohamad, walaupun Muhyiddin telah mengemukakan surat peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, peletakan jawatan itu dari segi perlembagaan hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan MT PN.
Beliau berkata, perkara itu jelas dinyatakan dalam Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN yang menyebut bahawa peletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas diluluskan oleh Majlis Tertinggi yang kemudiannya akan memilih seorang Pengerusi baharu dengan secepat mungkin.
“Fasal ini mempunyai tiga elemen penting iaitu peletakan jawatan, kelulusan Majlis Tertinggi dan kuat kuasa peletakan jawatan.
"Selagi MT PN tidak meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin, dari segi perlembagaan beliau masih Pengerusi PN,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Sehubungan itu, Marzuki menegaskan, Muhyiddin sepatutnya dijemput menghadiri Mesyuarat Luar Biasa PN kerana kedudukannya sebagai Pengerusi masih sah mengikut perlembagaan.
“Tindakan tidak menjemput Tan Sri Muhyiddin ke Mesyuarat Luar Biasa PN adalah pelanggaran Perlembagaan PN yang jelas dan mutlak,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa Perlembagaan PN merupakan sumber autoriti tertinggi gabungan itu, mengatasi kandungan mana-mana surat individu, termasuk surat peletakan jawatan.
“Walau apa pun kandungan surat Tan Sri Muhyiddin, Perlembagaan PN adalah sumber otoriti parti yang paling tinggi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Marzuki menyifatkan isu berkenaan sebagai perkara kecil yang tidak seharusnya menimbulkan kekecohan dan boleh dielakkan dengan memasukkan nama Muhyiddin dalam senarai jemputan mesyuarat berkenaan.
“Nama lengkap Tan Sri Muhyiddin cuma mengandungi 25 huruf. Tak lenguh pun jari menaip,” tambahnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam satu sidang media mempertahankan tindakannya tidak menjemput Tan Sri Muhyiddin ke Mesyuarat Luar Biasa PN dengan alasan bekas Perdana Menteri itu telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kandungan surat peletakan jawatan Muhyiddin yang diterima oleh kepimpinan PN.
Ringkasan AI
- Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berstatus Pengerusi Perikatan Nasional selagi Majlis Tertinggi tidak meluluskan peletakan jawatannya
- Peletakan jawatan hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi PN
- Perlembagaan PN menetapkan peletakan jawatan Pengerusi berkuat kuasa selepas diluluskan oleh Majlis Tertinggi
- Marzuki menegaskan Muhyiddin sepatutnya dijemput ke Mesyuarat Luar Biasa PN sebagai Pengerusi yang sah
- Perlembagaan PN merupakan sumber autoriti tertinggi, mengatasi kandungan surat peletakan jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

