PN stabil, dalam proses tentukan hala tuju – Presiden MIPP

Punithan ditemui media selepas mengakhiri pertemuan bersama Muhyiddin di kediaman Presiden Bersatu di Bukit Damansara.
Punithan ditemui media selepas mengakhiri pertemuan bersama Muhyiddin di kediaman Presiden Bersatu di Bukit Damansara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan stabil dan kekal kukuh sebagai gabungan politik yang bersedia mengambil alih pentadbiran negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan berkata demikian ketika ditemui media selepas mengakhiri pertemuan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman beliau, malam tadi.

Sebelum itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilihat meninggalkan kediaman Muhyiddin kira-kira jam 10.40 malam.

Mengulas lanjut, menurut Punithan, keadaan dalam PN adalah baik dan tiada sebarang isu besar melibatkan parti-parti komponennya setakat ini.

“Semua okey, PN stabil. Steady. 'We are only strong. Government in waiting'. Kita akan ambil alih pada PRU16 nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut menafikan dakwaan berlaku pergolakan antara PN dan Pas, sebaliknya menegaskan hubungan antara parti-parti dalam gabungan itu masih berada pada tahap yang baik.

“Tak ada pergolakan. 'We are all good. We are in discussion'. Tak ada petanda buruk. Kita semua steady untuk pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Punithan berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memastikan hala tuju PN menjadi lebih jelas, termasuk berkaitan kepimpinan gabungan itu.

“Tiada apa berlaku. Kita bincangkan supaya ada hala tuju yang jelas. Hari ini tiga presiden ada, saya bersama Gerakan dan Bersatu. Kita juga akan berbincang dengan Pas,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas ketiadaan wakil Pas dalam pertemuan malam itu, Punithan berkata, parti berkenaan tidak memaklumkan sebab ketidakhadiran mereka, namun perkara itu dianggap biasa dalam landskap politik.

“Mereka tidak maklumkan, tapi tidak mengapa. Ini perkara biasa dalam politik. Kami ini ibarat adik-beradik. Silaturahim masih tinggi dan perbincangan dengan Pas masih berjalan,” ujarnya.

Beliau menambah, satu mesyuarat peringkat tertinggi PN dijangka diadakan dalam masa terdekat selepas semua pihak mencapai persetujuan mengenai hala tuju gabungan itu.

Terdahulu, Punithan dan Dominic hadir di kediaman Muhyiddin Yassin di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara di sini malam ini kecuali Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ringkasan AI

  • Perikatan Nasional (PN) stabil dan kukuh bersedia untuk PRU16
  • Presiden MIPP, P. Punithan dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau mendiskusikan hala tuju PN dengan Muhyiddin Yassin
  • Tiada isu besar dalam PN dan tiada pergolakan dengan Pas
  • Perbincangan sedang dilakukan untuk memastikan kepimpinan dan hala tuju PN
  • Mesyuarat peringkat tertinggi PN akan diadakan untuk mencapai persetujuan hala tuju gabungan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!