Gerak kerja awal Pas ‘jam loceng’ bangkitkan jentera PRU-16 - UMNO Perak

Saarani (kanan) sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia pada Khamis.
Saarani (kanan) sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia pada Khamis.
A
A
A

IPOH - UMNO Perak melihat tindakan Pas negeri melancarkan jentera pilihan raya lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sebagai satu perkembangan positif.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu menjadi ‘jam loceng’ yang membantu menggerakkan jentera UMNO, yang mungkin sebelum ini berada dalam mod bersiap sedia.

"Baguslah sebab bila Pas mula melancarkannya, maka jentera UMNO akan bangkit dengan sendirinya. Kalau tidak, jentera UMNO tidur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Ahad lalu, Pas Perak melancarkan Gerak Kerja PRU-16 negeri itu di Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI), Kampung Luat, Lenggong yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak melihat langkah Pas itu sebagai satu tekanan, sebaliknya menghargai situasi tersebut kerana ia menyuntik kesedaran dalam kalangan jentera parti.

"Bagi saya, take it as positive. Tak ada masalah. Cuma sekadar mengucapkan terima kasih kerana mereka berjaya membantu menggerakkan jentera UMNO bangkit," katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan kekusutan dalaman Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas dan Bersatu, Saarani menegaskan, UMNO memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengukuhan parti sendiri tanpa bergantung kepada kelemahan pihak lain.

Beliau berkata, Presiden UMNO telah mengarahkan agar semua peringkat parti memperkukuh kekuatan dalaman sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak tahulah orang lain dia lemah ke dia kuat ke, tetapi kita kena pastikan kalau kita menang, kita menang atas kekuatan kita sendiri," jelasnya.

Tambah beliau, arahan jelas telah dikeluarkan supaya semua kawasan memberi fokus kepada pemantapan organisasi dan jentera parti di peringkat akar umbi.

"Terpulang kepada PN, tetapi kita di peringkat kita, kita bangunkan dan perkukuhkan dalaman parti kita sendiri," katanya.

Ringkasan AI

  • UMNO Perak melihat tindakan Pas melancarkan jentera pilihan raya awal sebagai positif
  • Tindakan Pas membantu menggerakkan jentera UMNO yang sebelum ini dalam mod bersiap sedia
  • Saarani Mohamad mengucap terima kasih kepada Pas kerana membantu menggerakkan jentera UMNO
  • UMNO dan Barisan Nasional tidak melihat langkah Pas sebagai tekanan tetapi sebagai kesedaran untuk jentera parti
  • UMNO memberi tumpuan kepada pengukuhan parti sendiri tanpa bergantung kepada kelemahan pihak lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!