Muhyiddin perlu berundur demi Bersatu, PN - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digantung menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat sebagai Presiden Bersatu bagi memastikan kelangsungan parti dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli MPT terbabit, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, gesaan itu dibuat susulan tularnya surat jawapan balas Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap jemputan pra-majlis Presiden Bersatu bagi membincangkan hala tuju PN.

Menurut beliau, surat berkenaan menunjukkan bahawa Muhyiddin didakwa menyimpang daripada apa yang dipersetujui secara bersama dengan niat untuk kembali sebagai Pengerusi PN.

“Saya kecewa dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin ini yang boleh mencemarkan imej PN di kalangan rakyat dan merosakkan hubungan Bersatu dengan rakan-rakan komponen PN yang lain terutamanya Pas,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, walaupun Muhyiddin tidak dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti, beliau perlu mengambil tanggungjawab moral bagi melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Bersatu dan PN.

Semalam, menurut surat yang tersebar, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan Pas bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan pembangkang itu ketika mesyuarat pada 16 Januari lepas.

Beliau mendakwa dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua parti mempersetujui penstrukturan semula PN, dengan Bersatu memimpin Majlis Presiden manakala Jawatankuasa Eksekutif diterajui Pas.

Antara pemimpin Pas yang menghadiri mesyuarat itu termasuk Abdul Hadi, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon dengan penuh rasa tanggungjawab supaya Tan Sri Muhyiddin berundur secara terhormat demi kepentingan parti dan gabungan PN,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang ahli MPT Bersatu menggesa Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu untuk kelangsungan parti dan PN
  • Gesaan tersebut dibuat susulan tularnya surat jawapan balas dari Abdul Hadi Awang mengenai hala tuju PN
  • Muhyiddin didakwa menyimpang dari apa yang dipersetujui untuk kembali sebagai Pengerusi PN
  • Tindakan Muhyiddin disebut mencemarkan imej PN dan merosakkan hubungan dengan rakan komponen, khususnya Pas
  • Walaupun tidak dikenakan tindakan disiplin, Wan Ahmad Fayhsal menekankan pentingnya Muhyiddin mengambil tanggungjawab moral

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!