Peranan ahli Parlimen bukan urus tadbir DBKL – UMNO Kepong

Abdul Razak
Abdul Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Peranan ahli Parlimen dalam sistem demokrasi adalah sebagai pembuat dasar dan penggubal undang-undang, bukannya pelaksana dasar atau pengurus operasi pentadbiran bandar.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penglibatan langsung ahli Parlimen dalam keputusan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sama ada melalui jawatankuasa, pemantauan projek atau akses kepada operasi dalaman, mengaburkan sempadan antara kuasa legislatif dan eksekutif.

“DBKL merupakan sebuah agensi pelaksana perbandaran dan bukannya institusi legislatif yang boleh ditadbir secara langsung oleh wakil rakyat,” katanya.

Abdul Razak berkata demikian ketika mengulas pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berhubung cadangan penstrukturan semula DBKL yang melibatkan penglibatan langsung ahli-ahli Parlimen dalam urus tadbir serta pelaksanaan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Cadangan tersebut termasuk penubuhan lima jawatankuasa pemantauan yang dipengerusikan oleh wakil rakyat menimbulkan persoalan besar dari sudut perundangan, pemisahan kuasa dan prinsip tadbir urus profesional bandar.

“DBKL ditubuhkan dan beroperasi di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) yang memperuntukkan kuasa eksekutif dan pentadbiran bandar terletak sepenuhnya di bawah Datuk Bandar yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Struktur pentadbiran itu diwujudkan melalui undang-undang Parlimen dan bukan sesuatu yang boleh diubah mengikut keperluan atau kehendak politik semasa,”ujarnya.

Beliau yang juga Pakar Perancang Bandar menegaskan, sekiranya kerajaan berhasrat mengubah peranan ahli Parlimen dalam struktur DBKL, saluran yang betul ialah melalui pindaan Akta 190 di Parlimen yang dibahaskan secara terbuka dan telus.

“Perubahan sebesar itu tidak wajar dibuat melalui pengumuman pentadbiran atau pelantikan jawatankuasa yang tidak mempunyai asas perundangan yang jelas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, cadangan berkenaan membuka ruang kepada politisasi urus tadbir bandar sedangkan DBKL sepatutnya berfungsi sebagai agensi profesional yang neutral dan berteraskan kepakaran teknikal.

“Tadbir urus bandar yang baik menuntut kejelasan peranan dan kuasa, bukannya pertindihan fungsi yang boleh menjejaskan keberkesanan pentadbiran,” katanya.

Beliau turut menyifatkan cadangan supaya setiap kelulusan Perintah Pembangunan perlu mendapat persetujuan ahli Parlimen sebagai satu langkah ke belakang.

“DBKL telah mempunyai Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 yang digubal melalui proses perancangan menyeluruh, dibincangkan secara berperingkat serta telah diwartakan dan dikuatkuasakan melalui undang-undang,” katanya.

Menurut Abdul Razak, meletakkan keperluan kelulusan tambahan berasaskan pertimbangan politik hanya akan melemahkan sistem perancangan sedia ada.

Ringkasan AI

  • Peranan ahli Parlimen dalam sistem demokrasi adalah sebagai pembuat dasar dan penggubal undang-undang, bukan pelaksana dasar
  • Penglibatan langsung ahli Parlimen dalam pentadbiran DBKL mengaburkan sempadan antara kuasa legislatif dan eksekutif
  • Cadangan penglibatan ahli Parlimen dalam DBKL menimbulkan persoalan tentang pemisahan kuasa dan prinsip tadbir urus profesional
  • Perubahan peranan ahli Parlimen dalam DBKL harus melalui pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 di Parlimen
  • Cadangan tersebut membuka ruang kepada politisasi urus tadbir DBKL yang seharusnya neutral dan profesional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!