Jawatan Pengerusi PN tidak boleh dimansuhkan, termaktub dalam perlembagaan - Sanusi

ALOR SETAR - Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dimansuhkan memandangkan ia termaktub dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
Ketua Pengarah Pilihanraya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, begitu juga dengan sebarang keputusan membabitkan struktur kepimpinan PN yang perlu melalui konsensus membabitkan parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Menurutnya, fungsi jawatan berkenaan juga berbeza dengan Majlis Presiden yang menjadi penasihat gabungan serta mengawal dasar-dasar yang telah diputuskan.
"Dalam Perlembagaan PN, Perkara 7 Seksyen 7 sudah ada Majlis Presiden yang mana ia dianggotai oleh presiden-presiden sebagai penasihat, (mengendali dan) mengawal dasar-dasar.
"(Manakala) Pengerusi PN adalah eksekutif yang mempengerusikan majlis tertinggi, dua benda yang berbeza. Tidak boleh nak hapus satu, dua-dua (jawatan itu) ada dalam perlembagaan, tidak timbul isu itu (jika ikut perlembagaan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan ketua baharu.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menyeru agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin perlu berlandaskan perlembagaan agar tidak mengeruhkan hubungan antara parti di dalam gabungan.
Ringkasan AI
- Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional tidak boleh dimansuhkan kerana termaktub dalam perlembagaan gabungan
- Keputusan struktur kepimpinan PN harus melalui konsensus parti komponen
- Fungsi jawatan pengerusi berbeza dengan Majlis Presiden yang menjadi penasihat
- Jawatan pengerusi adalah eksekutif yang mempengerusikan majlis tertinggi
- Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan susulan pertikaian dalaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

