UMNO minta RUU PSB dirujuk Jawatankuasa Khas Parlimen - Johari

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada minggu depan di Dewan Rakyat dicadang dirujuk terlebih dahulu ke Jawatankuasa Khas Parlimen bagi membolehkan semakan menyeluruh dibuat.
Ketua Pasukan Khas UMNO untuk Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan itu penting supaya RUU berkenaan tidak hanya dibentangkan secara terus tetapi ditambah baik dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti itu tidak menolak pembangunan semula bandar, namun menegaskan ia perlu dilakukan secara tersusun tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.
"Ya, (UMNO akan minta RUU PSB) dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen (sebelum diluluskan di Dewan Rakyat).
"Kita telah memperoleh pelbagai dapatan hasil penganjuran Konvensyen PSB," katanya ketika sidang akhbar selepas Konvensyen PSB di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.

Terdahulu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menyerahkan resolusi konvensyen itu kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, dapatan itu akan dibincangkan bersama Presiden UMNO untuk meneliti bagaimana mengolah pandangan masyarakat sebelum beliau membawanya kepada Perdana Menteri.
"Kita sebagai sebuah blok kerajaan, kita pun tidak boleh bergaduh sesama sendiri dan saya pun seorang menteri.
"Justeru, kita akan bawa RUU dan berbincang dengan Presiden," ujarnya.
Johari turut menekankan bahawa dengan merujuk RUU itu ke Jawatankuasa Khas Parlimen, ia akan memberi ruang kepada semua pihak termasuk penduduk, penyewa dan pemilik menyuarakan kebimbangan mereka.
Tambah beliau, tanpa langkah itu, risiko kebimbangan rakyat terhadap projek pembangunan semula yang terbengkalai atau berlarutan terlalu lama akan terus menjejaskan keyakinan masyarakat.
Dalam pada itu, terdapat tiga resolusi utama termasuk 14 cadangan khusus disyorkan pada konvesyen itu bagi memastikan pembangunan semula bandar tidak menjejaskan hak pemilik hartanah dan kepentingan rakyat.
Resolusi pertama adalah menuntut kerajaan menangguhkan pembentangan RUU sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Resolusi kedua pula menggesa kerajaan melaksanakan kajian menyeluruh sementara menunggu RUU digubal semula.
Resolusi ketiga mengusulkan penubuhan pihak berkuasa khusus bagi mengawal selia usaha pembangunan semula bandar, penjanaan semula dan penyelenggaraan supaya lebih teratur serta mampu menyelesaikan pertikaian antara pemilik, penduduk dan pemaju.
Ringkasan AI
- RUU Pembangunan Semula Bandar (PSB) dicadang dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum diluluskan
- UMNO tidak menentang pembangunan semula bandar tetapi mahukan ia dilakukan secara teratur
- RUU PSB akan dibincangkan dengan Presiden UMNO untuk mengolah pandangan masyarakat
- Merujuk RUU ke Jawatankuasa Khas Parlimen memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan kebimbangan
- Tiga resolusi utama termasuk 14 cadangan khusus disampaikan untuk memastikan pembangunan semula bandar mengambil kira hak pemilik hartanah dan kepentingan rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

